Muhammad Haikal Nashriq (dua dari kanan) bersama adiknya Qaseh Al-Qausar (kiri), Muhammad Harraz Nashriq (tiga dari kiri), Muhammad Azrin Nashriq (kanan), Qaseh Nurqisya Irdani (tiga dari kanan) serta Qaseh Irdani Qaisara (dua dari kiri) ketika ditemui di Pusat jagaan anak-anak yatim Walidaina. FOTO Adzlan Sidek
Muhammad Haikal Nashriq (dua dari kanan) bersama adiknya Qaseh Al-Qausar (kiri), Muhammad Harraz Nashriq (tiga dari kiri), Muhammad Azrin Nashriq (kanan), Qaseh Nurqisya Irdani (tiga dari kanan) serta Qaseh Irdani Qaisara (dua dari kiri) ketika ditemui di Pusat jagaan anak-anak yatim Walidaina. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


“WALAUPUN tinggal berasingan, hubungan mereka adik-beradik tidak akan terputus,” kata Kamarul Shima Kamarudin, 43, ibu saudara kepada enam anak yatim yang kematian bapa selepas pulang daripada menunaikan umrah, 22 Oktober lalu.

Anak arwah Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, iaitu Muhammad Haikal, 13, (autisme) menetap bersama adik bongsu Shima, manakala Muhammad Harraz, 11, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan adiknya.

Sementara itu, Qaseh Irdanu Qaisara, 7, (masalah pembelajaran) dan Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dijaga sepupu, manakala Qaseh Al-Qausar, 2, dijaga jiran yang kini melengkapkan proses mengambilnya sebagai anak angkat.

Shima berkata, kebajikan semua anak saudaranya itu terjaga, malah kehidupan mereka lebih terurus.

“Ada yang mempersoalkan kenapa adik-beradik itu dipisahkan sedangkan apa yang kami lakukan ini adalah untuk memastikan kehidupan dan masa depan mereka terjamin.

“Hubungan mereka tidak terputus dan masih rapat seperti dulu. Ini kerana yang menjaga mereka adalah ahli keluarga dan jiran yang tinggal berhampiran.

“Semuanya menetap di sekitar Seremban sekali gus memudahkan mereka berjumpa,” katanya ketika ditemui di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina, Senawang Seremban, hari ini.

Dia ditemui ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar serta Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Dalam lawatan itu, Arul menyerahkan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 kepada Shima yang bertindak sebagai pemegang amanah enam beradik itu.

Sementara itu, Nallusamy berkata, Allahyarham Kamarul Sharizam adalah penerima pencen ilat daripada PERKESO sejak Mei lalu akibat sakit dialami.

Beliau berkata, berikutan itu anak arwah layak menerima faedah pencen penakat berjumlah RM643.95 setiap bulan sehingga anak bongsu berusia 21 tahun.

“Bagaimanapun, memandangkan dua anak arwah adalah OKU, maka mereka layak menerima faedah pencen seumur hidup. Kita sedang dapatkan laporan perubatan untuk memastikan mereka menerima faedah itu berterusan,” katanya.

Berita berkaitan

Ayah 'pergi' selepas umrah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:49 PM