MOHAMAD IRWAN SHAH ISKHANDAR. FOTO MOHD AMIN JALIL
MOHAMAD IRWAN SHAH ISKHANDAR. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


"IRWAN nak ayah", itulah perkataan kerap diulangi Mohamad Irwan Shah Iskhandar, 8, yang kehilangan bapanya, Iskhandar Shah, 37, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Muar, Johor, Isnin lalu.

Kanak-kanak itu tinggal di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA) di Taman Satria, Senawang, Negeri Sembilan berikutan nenek yang menjaganya sebelum ini tidak mampu berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Pengasas PUJAYWA, Mohd Zatullah Kamarudin berkata hampir seminggu berlalu, namun kanak-kanak itu sehingga kini masih berada dalam keadaan sedih.

"Saya dan rakan-rakannya serta penghuni asrama yang lain berusaha memujuknya dan walaupun peristiwa sedih itu sudah seminggu berlalu, namun Mohamad Irwan Shah sentiasa menyebut nama bapanya.

"Jelas, dia sukar melupakan bapanya itu kerana individu itu banyak membantunya dan memberikan kasih sayang serta perhatian walaupun mereka duduk berjauhan," katanya di Senawang, hari ini.

Menurutnya, sejak kecil, Irwan mendapat kasih sayang daripada bapa dan neneknya yang berada di Seremban, selepas bapanya berpisah dengan ibunya beberapa tahun lalu.

Katanya, disebabkan neneknya tidak berupaya menjaganya kerana faktor kesihatan, Irwan dihantar ke PUJAYWA untuk meneruskan pelajaran.

"Sebaik diberitahu bapanya meninggal kerana kemalangan itu, dia menangis tidak henti dan saya memeluknya manakala pelajar lain turut memujuknya supaya bersabar.

"Irwan seorang yang rajin dan mendengar nasihat dan kami sentiasa memintanya supaya tidak lupa sedekah bacaan al-Fatihah untuk arwah bapanya," katanya.

Mohd Zatullah berkata, ketika ini PUJAYWA menempatkan 14 anak yatim berusia antara tujuh antara 15 tahun.

"PUJAYWA ditubuhkan pada awal 2017 dan berorientasikan kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak yatim serta miskin melalui pendidikan berteraskan Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:37 PM