MOKHTAR (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada (dari kiri) Muhammad Harraz Nasriq, 11, Muhammad Haiqal Nashriq, 13, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, anak kepada Allahyarham Kamarul Sharizam. FOTO  Iqmal Haqim Rosman
MOKHTAR (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada (dari kiri) Muhammad Harraz Nasriq, 11, Muhammad Haiqal Nashriq, 13, dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, anak kepada Allahyarham Kamarul Sharizam. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek


PEJABAT Menteri Besar Negeri Sembilan mahu memastikan enam anak Allahyarham Kamarul Sharizam Kamarudin yang meninggal dunia tiga jam selepas pulang daripada menunaikan umrah, 22 Oktober lalu, mendapat pendidikan sempurna.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad berkata, dia mendapat arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk melawat anak yatim berkenaan bagi mendapatkan maklumat terperinci selepas berita mengenai keluarga itu dilaporkan Harian Metro sejak beberapa hari lalu.

“Apabila terjadi kejadian seperti ini, kebajikan anak-anak ini yang perlu diberi keutamaan. Memandangkan mereka masih bersekolah, pendidikan mereka amat penting demi masa depan yang lebih baik.

“Saya mewakili Menteri Besar untuk mendapatkan maklumat enam kanak-kanak ini seperti tempat tinggal, tempat belajar, pendaftaran ke sekolah baru, bantuan badan yang berkaitan dan dokumen penting lain bagi memastikan semua berjalan lancar.

“Enam beradik ini memerlukan bantuan bulanan secara berterusan dan buat masa ini, kami nampak bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah dan bantuan pengangkutan ke sekolah sebanyak RM50 sebulan akan diusahakan.

“Menteri besar sendiri akan melawat enam beradik ini dalam masa terdekat selepas mendapatkan maklumat terperinci. Mungkin dia akan membawa wakil daripada jabatan tertentu seperti Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melihat keperluan enam beradik ini,” katanya.

Mokhtar terdahulu melawat tiga daripada enam beradik berkenaan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina, Senawang, hari ini dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai.

Sementara itu, Kamarul Shahril Kamarudin, 35, adik kepada Kamarul Sharizam berkata, ketika ini ramai yang memberi sumbangan kepada enam beradik itu, namun dia berharap akan ada bantuan secara bulanan secara tetap daripada agensi tertentu.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar kerana mengambil berat mengenai enam beradik ini. Insya-Allah ia sedikit sebanyak membantu kami menguruskan pendidikan dan kebajikan mereka,” katanya.

Kamarul Sharizam meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang menunaikan umrah, jam 5.05 petang 22 Oktober lalu sebaik tiba di hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu tidak sihat.

Sebelum ini arwah menguruskan sendiri enam anaknya meskipun mengalami empat penyakit selain sudah berpisah dengan isteri.

Berita berkaitan

Adik rindu ayah...

Ayah 'pergi' selepas umrah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 3:33 PM