PEGAWAI penguat kuasa JKNT memeriksa keadaan sebuah kedai makan dapam Operasi Cakna Penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu d di Seberang Takir hari ini. FOTO Ghazali Kori.
PEGAWAI penguat kuasa JKNT memeriksa keadaan sebuah kedai makan dapam Operasi Cakna Penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam Peringkat Negeri Terengganu d di Seberang Takir hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Baharom Bakar


Kuala Nerus: Sebuah kedai makan di Seberang Takir, dekat sini, diarah tutup selama 14 hari kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata, premis makanan itu diarahkan tutup apabila pemeriksaan mendapati 11 pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid.

Katanya, arahan penutupan premis makanan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

"Pengusaha premis makanan itu boleh membuka semula operasi selepas semua pekerjanya menunjukkan bukti sudah melakukan suntikan tifoid melakukan kerja pembersihan seperti dikeluarkan," katanya.

Terdahulu, Dr Kasemani merasmikan majlis penutup Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam ke-dua negeri di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir adalah Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Dr Effah Leiylena Yaacob.

Dr Kasemani berkata, sebanyak 78 premis diperiksa dalam Ops Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam, yang diadakan hari ini.

Katanya, sebanyak 99 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan jumlah kompaun berjumlah RM24,055.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 5:32 PM