Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SUAMI isteri lemas selepas terjatuh ke laut ketika memasang pukat di perairan Kuala Perlis, hari ini.

Mayat Mohd Zaini Panjang Karim, 55, dan isterinya, Azizah Yatim, 49, berasal dari Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis, ditemui pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 3.30 petang.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, pasangan itu ditemui pihak Maritim Malaysia dalam keadaan berpelukan dan tersangkut di pukat milik nelayan lain.

“Mengikut maklumat diterima, mangsa keluar ke laut jam 6.30 pagi tadi bersama sebuah lagi bot yang dinaiki saudara mereka bagi memasang pukat.

“Bagaimanapun pada jam 11 pagi, hanya sebuah bot dinaiki saudara mangsa pulang, manakala bot dinaiki mangsa dikatakan tertinggal ke belakang.

“Saudara mangsa menunggu suami isteri itu selama dua jam untuk sampai ke jeti, sebelum mereka membuat laporan kepada pihak Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, berikutan itu usaha mencari mangsa dilancarkan pihak berkuasa pada jam 1 petang tadi sebelum mereka ditemui lemas di kawasan perairan Tukun 300, Kuala Perlis.

“Anggota Maritim Malaysia menemui mangsa dalam keadaan berpelukan sebelum dapat mengeluarkan mereka yang terbelit dalam pukat.

“Mayat dibawa menaiki bot peronda Maritim Malaysia dan tiba di Jeti Kuala Perlis jam 5.30 petang tadi,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 8:21 PM
Mayat Mohd Zaini dan Azizah dibawa ke Jeti Kastam, Kuala Perlis. FOTO ihsan APM.
Mayat Mohd Zaini dan Azizah dibawa ke Jeti Kastam, Kuala Perlis. FOTO ihsan APM.