NELAYAN warga Myanmar yang dilaporkan hilang ditemukan lemas. FOTO Ihsan APMM
NELAYAN warga Myanmar yang dilaporkan hilang ditemukan lemas. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Nelayan warga Myanmar yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama dua lagi rakan senegara karam di kedudukan 10.3 batu nautika Pulau Talang, Pantai Remis, di sini, Selasa lalu, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Nai Mon Chan, 26, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan di kedudukan 17.9 batu nautika Barat Laut Pulau Talang pada 2.20 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas bot dinaiki berlanggar dengan tongkang pasir pada hari kejadian.

Katanya, bot tongkang itu tersangkut pada pukat bot nelayan berkenaan dan menyebabkannya karam.

"Sebaik ditemukan lemas, mayat mangsa dibawa ke jeti nelayan Pantai Remis. Majikan dan rakan mangsa membuat pengecaman ke atas mayat dan mengesahkannya.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh aset dari pelbagai agensi dan dua pasukan penyelam terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sepanjang tiga hari lalu, selain bantuan nelayan tempatan.

Menurutnya, pihaknya mengingatkan komuniti maritim supaya tidak keluar ke laut sekiranya cuaca buruk dan sentiasa mengutamakan dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

Berita berkaitan

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/668438/bot-karam-nelayan-warga-myanmar-hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 10:42 PM