PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden pada sidang media di Pejabat PAFA, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden pada sidang media di Pejabat PAFA, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden persatuan itu, hari ini.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat Hasnul pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif PAFA, namun beliau masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat untuk memberikan tumpuan terhadap tugas politiknya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang memegang portfolio Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong.

Katanya, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizul Azumu dalam tempoh sehari dua lagi dan hasratnya untuk meletakkan jawatan sudah diketahui Ahmad Faizal.

“Lima bulan (memegang jawatan) tempoh sangat mencabar, Allah berikan saya peluang untuk menguruskan sebuah pasukan yang digilai ramai orang.

“Jika masih ingat masa sidang media pertama saya (selepas memegang jawatan Presiden PAFA), saya menyatakan ingin membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya berjaya membawanya sehingga Perak muncul juara.

“Saya menilai dalam tempoh seminggu dua ini, kerja saya sedikit terganggu (selepas kes cara mengendalikan trofi Piala Malaysia), bagaimanapun saya terus beri fokus pada PAFA,” katanya dalam sidang media diadakan di Pejabat PAFA di sini hari ini.

Hasnul dipilih sebagai Presiden PAFA pada Kongres Tahunan ke-60 PAFA, 21 Julai lalu selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Namun, beliau mencetuskan kemarahan peminat berikutan caranya mengendalikan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak selepas menumpaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.

Beberapa keping gambar yang dimuatnaiknya di media sosial miliknya membuatkan peminat mengandaikan Hasnul tidak menghormati trofi berprestij itu sehingga bukan sahaja dikecam peminat seluruh negara malah dikritik oleh bekas pemain Perak sendiri.

Penyokong The Bos Gaurus (TBG) Sabtu lalu turut mengumpulkan petisyen bagi mendesak Hasnul meletakkan jawatan sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahmad Faizul.

Ketika ditanya sama ada keputusan dibuatnya itu atas faktor menjadi mangsa buli siber apabila Facebooknya diserang dengan pelbagai komen netizen selepas berlakunya isu itu, Hasnul mengakui faktor itu turut menjadi punca fokusnya terganggu hingga menyebabkan mengambil keputusan meletakkan jawatan.

Hasnul berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatannya itu adalah muktamad dan tidak akan mengubah fikiran walaupun ia tidak diterima mana-mana pihak.

Selepas sidang media itu, Hasnul dilihat menitiskan air mata dan berpelukan dengan barisan EXCO PAFA serta bersalaman dengan pihak media sebelum meninggalkan pejabat persatuan itu.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Hasnul turut mengumumkan PAFA berjaya memancing pemain tengah Terengganu FC (TFC), J Partiban untuk musim depan dan pemain berkenaan menjadi pemain pertama menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 8:44 PM