JAWATANKUASA Eksekutif PAFA bersetuju melantik Menter Besar isi jawatan Presiden. FOTO Ihsan PAFA
JAWATANKUASA Eksekutif PAFA bersetuju melantik Menter Besar isi jawatan Presiden. FOTO Ihsan PAFA
Balqis Jazimah Zahari


IPOH: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA ) bersetuju dengan kehendak ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi ‘nakhoda’ persatuan itu.

Sehubungan itu, PAFA akan mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) pada 6 Disember ini bagi membolehkan pelantikan Ahmad Faizal sebagai presiden persatuan itu dilakukan.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, EGM itu dijangka turut akan melantik timbalan presiden baharu bagi mengemudi badan induk pembangunan bola sepak negeri itu.

“Kami akur dengan keputusan ahli gabungan yang mahukan Menteri Besar menerajui PAFA dan ia adalah adalah prosedur biasa untuk lantik 'bos' yang baharu.

“Ahli gabungan juga mahukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai timbalan presiden dan EGM dijangka berlangsung di Casuarina@Meru pada sebelah malam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas sebentar tadi.

Pelantikan Menteri Besar Perak sebagai presiden dibuat berikutan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim manakala Zainal Azman mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Hasnul dipilih sebagai presiden pada Kongres Tahunan ke-60 PAFA, 21 Julai lalu selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Muhammad Yadzan berkata, dia berharap mesyuarat luar biasa yang akan diadakan nanti mampu memberi harapan dan sinar baharu bagi persatuan itu.

“Kita harapkan isu ini akan selesai dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju dan perjalanan persatuan untuk mengharungi musim akan datang.

“Kita yakin dengan sokongan beliau (Ahmad Faizal) kepada pasukan negeri sebelum ini yang tidak berbelah bahagi, jadi beliau mampu menjadikan Perak sebuah pasukan lebih baik jika menerajui PAFA kelak,” katanya.

Beliau berkata, PAFA turut mengharapkan sokongan tidak henti dari semua pihak supaya persatuan itu mampu mencipta sejarah lagi pada musim akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 12:45 AM