ABDUL Puhat (kiri) dan Shahrul puas bersama trofi Piala Malaysia. FOTO/FB  Hasnul Zulkarnain
ABDUL Puhat (kiri) dan Shahrul puas bersama trofi Piala Malaysia. FOTO/FB Hasnul Zulkarnain
Shamsul Kamal Amarudin


IPOH: Kepimpinan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tidak pernah lupa sebaliknya menghargai sumbangan dilakukan oleh kepimpinan terdahulu yang membolehkan pasukan Perak The Bos Gaurus (TBG) berada pada prestasi terbaik sepanjang musim ini.  

Selain menjulang Piala Malaysia menumpaskan Terengganu FC pada aksi final malam kelmarin, TBG juga berjaya menduduki tempat kedua di belakang Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan Liga Super.  

Justeru, Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, berkata kemenangan TBG sebenarnya adalah kemenangan bersama dan kejayaan pasukan itu bukan dilakukan dalam tempoh singkat dan mudah sebaliknya hasil kepimpinan pasukan dalam menghadapi pelbagai ranjau dan ujian.   

"Kepimpinan PAFA ketika ini hanya meneruskan kesinambungan usaha dan kerja keras kepimpinan terdahulu.  

"(Bekas Presiden PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan (bekas Timbalan Presiden PAFA) Datuk Shahrul Zaman Yahya, antara insan yang paling gembira atas kejayaan ini. Saya tidak pernah lupa jasa yang mereka telah curahkan selama ini. Kami meraikan kemenangan ini bersama," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan dalam Facebook miliknya hari ini.  

Abdul Puhat yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Shahrul Zaman yang juga bekas EXCO kerajaan negeri adalah Presiden dan Timbalan Presiden PAFA, sebelum jawatan kedua-duanya diambil alih berikutan perubahan politik dan teraju pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Jun lalu.  

Dalam Facebook berkenaan, Hasnul Zulkarnain turut memuat naik gambar yang dirakam ketika final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam yang menunjukkan beliau memeluk Abdul Puhat selain Abdul Puhat dan Shahrul Zaman memegang trofi Piala Malaysia serta gambar Shahrul Zaman menangis kegembiraan selepas tamat perlawanan.  

Hasnul Zulkarnain yang juga EXCO kerajaan negeri, berkata beliau sudah menegaskan sebelum ini bahawa dirinya tiada niat untuk menjatuhkan sesiapa atau pasukan sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan PAFA.  

"Mana-mana kepimpinan yang memegang tampuk pemerintah persatuan tidak ada niat untuk menjatuhkan pasukan, sebaliknya punya matlamat sama iaitu mahu melihat kejayaan itu dicapai.  

"Terima kasih kepada semua, iltizam kami ialah mahu melihat skuad Seladang terus berjaya dan mengekalkan prestasi yang ada. Ayuh kita raikan kejayaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 3:46 PM