Mohd Firdaus Ibrahim


LAPORAN eksklusif melalui kewartawanan penyiasatan dilakukan wartawan Harian Metro mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku dalam agensi kerajaan sepanjang tahun ini.

Pendedahan itu bukan saja mendapat perhatian pihak berkuasa dan kementerian berkaitan sebaliknya beberapa siri laporan eksklusif turut dipetik agensi berita luar negara.

Antara laporan eksklusif bersiri seperti penyelewengan eNTRI dan eVISA ialah membabitkan kemasukan puluhan ribu pelancong China ke Malaysia yang memberikan keuntungan mudah kepada sebuah syarikat swasta walaupun sistem dibangunkan mereka gagal menyediakan tapisan awal keselamatan.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak melakukan siasatan dan terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan pengambil alihan tugas pengendali sistem berkenaan.

Begitu juga pendedahan penyelewengan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membabitkan nilai RM16 juta.

Susulan pendedahan, pengurusan agensi terbabit dirombak selain siasatan penyelewengan oleh SPRM.

Terbaru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan perlantikan ahli lembaga baru bagi menerajui badan berkenaan.

7 FEBRUARI: Dadah atas jirat

Kuala Lumpur: Kawasan jirat Cina yang luas dekat Bandar Tun Razak di sini, dikenal pasti lokasi terbaru sindiket pengedaran dadah syabu dan heroin yang menjalankan operasi dengan diawasi tonto bagi mengelak pihak berkuasa.

Difahamkan, sindiket yang dikuasai kongsi gelap itu menjual dadah berkenaan pada harga serendah RM5 sepeket dan urus niaga boleh dijalankan untuk mendapatkan jumlah dadah yang lebih besar dengan hanya berurusan di jirat berkenaan.

25 Mac: Gerila bukit kobeh

Gerik: Kegiatan penyeludupan migran termasuk etnik Rohingya bagaikan tiada kesudahan.Kemakmuran dan murah hati rakyat negara ini menerima mereka menyebabkan etnik Rohingya yang dianiaya mengintai peluang, tambahan pula ramai saudara mereka di negara ini sejak dua dekad lalu.

Bagi mereka jika dapat tiba di sempadan Malaysia, ia rahmat kerana mereka yakin tidak dihantar pulang sebaliknya boleh bebas bergerak dan mencari rezeki di negara ini.

Taktik terbaru sindiket penyeludupan migran ini dikesan menjadikan Bukit Kobeh atau Khoa Ko Be setinggi lebih 800 meter dan bersempadan hutan antara Malaysia-Thailand di Kampung Alai di sini, sebagai laluan penyeludupan.

Malah, di sepanjang sempadan hulu Perak berdekatan Betong, Thailand, beberapa lagi Lorong Gajah kerap dijadikan pintu masuk tanpa pasport iaitu di Kampung Kuak Hulu, Kuak Tengah, FELDA Nenering 4, dan FELDA Nenering 10.

1 Jun: Hospital ‘bom jangka’

Putrajaya: Ketiadaan sistem keselamatan kebakaran yang lengkap berserta Sijil Perakuan Bomba (FC) menjadikan hospital kerajaan di negara ini, terutama yang berusia lebih 100 tahun ibarat bom jangka kerana berdepan risiko tinggi kebakaran.

Secara purata, ada sekurang-kurangnya satu hospital lama berusia lebih 100 tahun di setiap negeri.

Mengikut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terdapat 21 hospital kerajaan di seluruh negara tidak mempunyai FC pada 2017. Sehingga April 2018 pula, daripada 85 hospital kerajaan, 39 tidak mempunyai FC.

  • Periksa premis di bandar besar
  • 24 Julai: Tauke judi naik tocang!

    Alor Setar: Bebas berjudi tanpa sebarang sekatan dan larangan. Malah, wang kemenangan boleh mencecah sehingga RM300,000. Itu yang ditawarkan puluhan premis judi tanpa lesen yang banyak beroperasi di sekitar bandar raya ini bagi menarik perhatian kaki judi tanpa mengira usia untuk mencuba nasib menjadi ‘orang kaya baharu.’

    Lebih berani, premis perjudian haram itu melakukan urus niaga secara terbuka dengan membenarkan sesiapa saja berjudi berbanding pusat perjudian di Lembah Klang yang hanya memberikan akses kepada ahli ataupun kaki judi dikenali penjaga premis.

    25 Julai: 'Pintu' rahsia seludup migran

    Bukit Kayu Hitam: Keadaan sekitar perumahan penduduk Ladang Rakyat Laka Temin dan Kelab Golf Black Forest di sempadan Malaysia/Thailand agak lengang dan tiada pergerakan mencurigakan walaupun kawasan itu memang terkenal sebagai laluan utama memasuki negara ini secara haram selepas melepasi pintu pagar sempadan.

    Namun, sebenarnya di sebalik tembok pagar batu setinggi dua meter dan pagar kawat setinggi tiga meter itu ada satu laluan rahsia digunakan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludup iaitu satu kolong hampir 20 meter menghubungkan kedua-dua kawasan.

    Kolong itu binaan longkang lebihan air banjir dari tasik di kelab golf berkenaan dan sekitar kawasan itu berpagar serta orang ramai tidak boleh memasukinya pada bila-bila masa kerana selain berpagar ia juga bertembok batu.

  • 'Lubang bencana' [METROTV]
  • EAIC siasat 'kebocoran' sempadan negara
  • Tutup kolong
  • 8 Ogos: Mesin imbas KLIA 'bocor'

    Sepang: Kegagalan pihak berkuasa menyediakan sistem pemeriksaan canggih di Kompleks Kastam Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sindiket penyeludupan menjadikan pintu masuk utama negara itu sebagai ‘lubuk emas’ kegiatan haram mereka.

    Untuk rekod, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hanya bergantung kepada mesin pengimbas biasa sama seperti digunakan pihak lapangan terbang untuk memeriksa bagasi sedangkan urusan kemasukan pelbagai barangan direkodkan melebihi satu juta tan setahun.

    Hasil tinjauan mendapati, mesin pengimbas yang ditempatkan di bahagian hujung kaunter keluar masuk yang turut menempatkan petugas JKDM di Kargo KLIA itu sememangnya tidak mampu beroperasi dengan baik.

    23 Ogos: 'Doktor Bangla' Mini Dhaka

    Kuala Lumpur: Dari mata kasar, premis itu kedai runcit berkongsi tingkat dengan kedai makanan tradisi Bangladesh namun hakikatnya ia ‘farmasi’ menjual ubat-ubatan dari negara itu.

    Meskipun ada klinik yang dikendalikan rakyat tempatan dalam blok bangunan berdekatan selain beberapa hospital terkemuka di sekitar kawasan Jalan Tun Tan Siew Sin atau nama asalnya Jalan Silang namun peniaga Bangladesh di premis terbabit yang terkenal dengan jolokan ‘Dr Bangla’ dikesan membawa ubat-ubatan itu dari negara asalnya.

    15 September: Tiga tahun senyap jer...

    Kuala Lumpur: Lapan filem bernilai RM16 juta yang kos pembikinannya diperoleh daripada dana penerbitan FINAS ‘ghaib’ sehingga kini walaupun sudah

    tiga tahun mendapat geran itu.

    Lapan filem itu membabitkan tujuh filem cereka dan satu filem animasi yang menerima dana antara 2015 hingga 2016. Dana yang diterima bagi setiap satu berjumlah dan RM1.2 juta hingga RM5 juta.

  • 'Plot seram' dana finas
  • Salur duit ikut 'wahyu'
  • 'Angkut mereka ke mahkamah'
  • 14 November: Beruk boleh mohon

    Guangzhou (China): Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

    Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang bayaran fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan.

    Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk

    ke negara ini.

  • Beruk boleh mohon [METROTV]
  • Muhyiddin arah semua konsesi imigresen dikaji
  • Kaji semula perjanjian
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 5:25 PM