Ziana Zain. FOTO ROSELA ISMAIL
Ziana Zain. FOTO ROSELA ISMAIL
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Ziana Zain, 50, bersyukur kerana anak-anaknya memahami situasi yang berlaku dalam keluarga mereka dan sentiasa menjaga kebajikannya sebagai ibu.

Menurut penyanyi lagu Madah Berhelah itu, anak sulungnya, Muhammad Aiman, 18, sering menasihatinya supaya menjaga kesihatan.

“Alhamdulillah, anak-anak faham apa yang berlaku. Aiman, terutamanya sering menasihati saya supaya cari masa untuk berehat walaupun sibuk dengan kerja.

“Katanya, kesihatan pun penting,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ziana atau Siti Roziana Zin, anak-anak adalah sumber kekuatannya.

“Mereka adalah kekuatan saya dan daripada mereka, saya dapat tenaga positif untuk terus bekerja keras,” katanya.

Tambah Ziana, walau apa pun yang berlaku, dia akan tetap meraikan Aidilfitri sama meriah seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Mungkin saya ada yang bertanya sama ada sambutan perayaan tahun ini, berbeza atau tidak. Apa yang saya boleh katakan, persiapannya sama seperti sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya ada keluarga yang sentiasa ada dengan saya. Keluarga saya memang meriah dan tak pernah buatkan saya rasa sunyi,” katanya.

Selain Aiman, tiga lagi anak-anak Ziana adalah Muhammad Ammar, 14, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kedua-duanya berusia sembilan tahun.

Ziana bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai situasi rumah tangganya dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri kerana tidak mahu timbul sebarang isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 4:56 PM