Ziana dan anak sulung, Muhammad Aiman. Foto dari Instagram Ziana Zain
Ziana dan anak sulung, Muhammad Aiman. Foto dari Instagram Ziana Zain
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Ziana Zain, 55, belum sedia menerima menantu dan mahu anak sulungnya, Muhammad Aiman, 23, memberi fokus pada pendidikan dalam jurusan Hotel dan Katering sehingga berjaya dahulu.

Ziana berkata anak terunanya itu bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah di sebuah universiti swasta di Shah Alam pada tahun depan seterusnya menyimpan impian mencari pengalaman belajar ke luar negara.

"Saya tahu jodoh itu aturan takdir, tapi, kalau boleh nantilah dulu. Impian seorang ibu yang saya selalu cakap pada anak-anak, Allah jadikan mama ini penyebab untuk sediakan awak jalan ke arah masa depan. Mama tolong dan selepas itu, pandai-pandailah.

"Malah, Aiman pun ada meluahkan hasratnya untuk belajar ke luar negara. Saya tidak halang impiannya itu dan akan menyokong. Cuma, saya minta dia terus doakan saya diberikan Allah kesihatan yang baik dan panjang umur untuk dapat mencari rezeki buat keluarga," katanya ditemui baru-baru ini.

Ziana berkata, Aiman pun masih muda dan biarlah nikmati kehidupannya dulu dengan impian ingin dikejar untuk menjadi seorang yang berjaya.

Terdahulu, tular di media sosial foto Ziana bersama anaknya Aiman ketika menghadiri satu acara penganugerahan perniagaan di ibu kota baru-baru ini.

Aiman hadir buat kali pertama menemani ibunya dan kemunculan itu menarik perhatian ramai sehingga ada segelintir netizen menulis komen berhasrat menjadikan Aiman calon suami dan menantu.

"Saya ada juga baca komen netizen itu, tapi nantilah dulu. Biarlah dia (Aiman) 'enjoy life' dulu, sebab mak dia penat kerja, mak dia pun baru melabur pada anak dia untuk masa depan.

"Belum lagilah (menantu) untuk semua ini. Sekarang, saya cuma mahu menyokong semua anak saya belajar sejauh mana yang mereka mampu sebab itu tugas saya," katanya.

Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Puncak Kasih pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas ketua pramugara, Armin Zaharin pada 9 Mei 1998, namun sah bercerai pada 12 Julai 2018 lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 20 tahun itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ziana yang juga ibu empat anak iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Ammar, 21, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 14,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:30 PM