ZIANA Zain hadir ke Mahkamah bagi sebutan kes cerai terhadap suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. FOTO Muhd Sulaiman
ZIANA Zain hadir ke Mahkamah bagi sebutan kes cerai terhadap suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam. FOTO Muhd Sulaiman
Ramlah Zainal


“KALAU 20 tahun, saya boleh bersabar, jadi sikit lagi saya kena sabar. Saya akan mengikut prosedur ditetapkan mahkamah dan yakin semuanya akan diselesaikan secara baik, ” kata penyanyi popular Ziana Zain, 50.

Ziana berkata demikian ketika diminta mengulas sebutan keputusan Jawatankuasa Pendamai, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Pada sebutan itu, suaminya Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, tidak hadir tanpa sebarang pemberitahuan.

Mahkamah menetapkan Ziana dan Armin melakukan proses seterusnya menerusi Jawatankuasa Hakam pada 12 Julai depan.

Ketika diminta komen mengenai ketidakhadiran Armin pada sebutan itu, Ziana turut menyampaikan pesanan buatnya.

“Kalau kita ada rasa tanggung jawab untuk satu sama lain, kita sepatutnya hadirlah,” katanya.

Mengenai sambutan Syawal kali ini, kata Ziana, dia tetap meraikannya bersama anak-anak seperti biasa.

“Sambutan raya saya bersama anak-anak tahun ini sama saja dan raya tetap raya.

“Semua anak-anak juga berada dalam keadaan baik,” katanya.

Ziana memfailkan kes perceraiannya dengan suami, Armin pada April lalu.

Pasangan ini bernikah pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:39 AM