LIPA bersikap terbuka menceritakan sejarah keluarganya kepada umum.
LIPA bersikap terbuka menceritakan sejarah keluarganya kepada umum.
Susunan Michelle Gun


Pencapaian luar biasa single New Rules yang mendapat lebih satu bilion tontonan di YouTube membantu menaikkan populariti Dua Lipa bukan saja di tanah air sendiri tetapi ke peringkat dunia.

Lagu rancak itu menyampaikan beberapa nasihat berguna kepada wanita untuk melupakan bekas kekasih mereka.

Antara nasihat diselitkan dalam liriknya adalah tidak menjawab panggilan telefon bekas teman lelaki.

Kedua, jangan sesekali membenarkan bekas kekasih menjejak kaki ke dalam rumah.

Nasihat ketiga penyanyi berasal dari England itu kepada wanita adalah untuk tidak mempunyai sebarang hubungan persahabatan dengan bekas teman lelaki mereka.

Kata-kata itu seperti nasihat lama yang diamalkan segelintir wanita, namun New Rules memberi bayangan bukan sukar untuk melupakan kekasih lama.

Kini, penyanyi berusia 22 tahun ini menambah nasihat baru kepada peminatnya di seluruh dunia iaitu menyekat bekas kekasih di media sosial.

Beralih ke kehidupan peribadinya, gadis jelita keturunan Albania ini bersikap terbuka menceritakan sejarah keluarganya kepada umum.

Menurut Lipa, ibu dan bapanya berhijrah ke London pada 1992 dari Kosovo, Albania ketika negara itu dilanda konflik dengan meninggalkan ahli keluarga lain.

Kata Lipa, sembilan tahun kemudian, datuknya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, bapanya tidak dapat kembali ke negara itu berikutan masalah sekatan di sempadan negara terbabit.

Penyanyi itu memberitahu ibu bapanya terpaksa bekerja di kafe dan bar manakala pada waktu petang, mereka mengikuti kelas pengajian.

“Di Kosovo, bapa berlatih menjadi doktor gigi. Ibu pula bakal peguam.

“Namun, penghijrahan mereka ke London mengubah nasib mereka. Ibu mengambil kursus dalam pelancongan dan bapa menyambung pengajian di bidang perniagaan.

“Ketika saya ke sekolah, mereka juga sibuk belajar,” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Menjelaskan nama uniknya, Lipa berkata, Dua bermaksud cinta dalam bahasa Albania. Nenek yang mencadangkan ibu bapa menamakannya Dua.

“Sewaktu kecil, saya teringin mempunyai nama biasa seperti Hannah, Sarah atau Ella. Sekarang, saya bangga diberikan nama itu,” katanya.

Pengumuman Lipa kembali ke negara ini untuk konsert solo pertamanya bulan lalu menjadi bualan hangat di media sosial.

Konsert Lipa akan berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail jam 8.30 malam esok.

Memiliki lebih 9.7 juta pengikut di Instagram, penyanyi ini berjaya mendominasi pelbagai carta muzik dunia menerusi single New Rules.

Ini menjadikan Lipa antara penyanyi wanita baru paling berpengaruh sejak tahun lalu.

Malah, dia juga diangkat sebagai penyanyi wanita pertama menerima lima pencalonan di Brit Awards, awal tahun ini.

Pencalonan itu melayakkan dia membawa pulang trofi Artis Solo Wanita British Terbaik dan Artis Baru Terbaik British.

Terbaru, Lipa melancarkan single baru berjudul One Kiss dengan kerjasama produser muzik terkenal, Calvin Harris.

Dia juga mempunyai single lain yang diperkenalkan sebelum ini iaitu IDGAF, Your Mind (Mwah) dan Scared To Be Lonely yang turut menerima sambutan hangat di serata dunia.

Lipa memulakan karier nyanyian pada usia 14 tahun dengan menyanyikan lagu hit artis terkenal yang dimuat naik ke YouTube.

“Saya mahu membuktikan kemampuan menyanyi dan berharap video berkenaan menarik perhatian produser muzik.

“Walaupun video itu tidak tular, ia sebagai portfolio saya,” katanya.

Katanya, peluang membuat persembahan di Pesta Glastonbury adalah pengalaman sukar dilupakan kerana menjadi penanda aras pencapaiannya dalam industri muzik.

Lipa pernah membuat persembahan di Good Vibes Festival di Genting Highlands, Ogos tahun lalu.

Selain negara ini, penyanyi itu turut menemui peminatnya di Hong Kong, Singapura, Tokyo dan Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 5:30 AM