DUA Lipa
DUA Lipa
Susunan Michelle Gun

Lagu hit Dua Lipa, New Rules yang mengisahkan peraturan baru wanita untuk kekasih menyebabkan segelintir pihak menuduh penyanyi itu membenci lelaki.

Bagaimanapun, Dua, 22, menafikan dakwaan terbabit dan menganggap isu itu sebagai salah faham.

“Saya didatangi ramai lelaki yang berkata saya membenci mereka,” katanya kepada majalah Teen Vogue.

Menurut penyanyi Britain itu, lagu New Rules memperjuangkan semangat persaudaraan antara rakan wanita.

“Single berkenaan mengenai peraturan yang akan anda beritahu kepada rakan wanita. Saya berpendapat semangat seperti itu penting.

“Penting untuk mengambil berat dan menjaga hubungan sesama rakan perempuan,” katanya.

Malah, Dua turut mencadangkan peraturan baru untuk lagu berkenaan iaitu wanita perlu menyekat bekas kekasih di media sosial.

New Rules diperkenalkan pada Julai lalu mencapai kejayaan besar di peringkat global apabila mengungguli carta muzik di beberapa negara.

Ia juga menjadi lagu pertama Dua untuk mencapai tempat pertama di carta muzik United Kingdom.

Perkembangan terbaru karier nyanyiannya, Dua akan melancarkan video muzik rasmi single baru One Kiss yang menampilkan produser terkenal Calvin Harris dalam masa terdekat ini.

Ini kali pertama Dua dan Calvin berkolaborasi. Mereka turut mempromosi video muzik One Kiss di media sosial dengan memuat naik gambar masing-masing.

Sementara itu, Dua akan ke Malaysia menerusi konsert yang akan berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada 3 Mei ini.

Sebelum ini, dia pernah membuat persembahan di Good Vibes Festival di Genting Highlands, Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 2:24 AM