LIPA
LIPA
Michelle Gun

Selepas dua hari dilancarkan, lagu Kiss and Make Up nyanyian penyanyi British, Dua Lipa dan kumpulan terkenal Korea Selatan, Blackpink tersenarai sebagai video nombor dua sohor kini (trending) di YouTube.

Video muzik lagu ciptaan Lipa itu ditonton hampir 11 juta kali dan memperoleh sejuta ‘like’ di laman web perkongsian video itu.

Kolaborasi dua bintang besar itu adalah yang pertama bagi mereka.

Selain itu, ini juga kali pertama kumpulan Blackpink diketengahkan dalam album penyanyi lain.

Menurut Forbes, lagu mengetengahkan dwibahasa sangat jarang dalam industri K-Pop. Namun, konsep sedemikian bukan luar biasa dalam industri muzik Barat.

Dalam satu temu bual, Lipa, 23, memberitahu sukar mencari artis sesuai untuk berduet menyampaikan lagu Kiss and Make Up yang ditulisnya setahun lalu.

BLACKPINK
BLACKPINK

Kebetulan pada Mei lalu, penyanyi keturunan Albania ini berada di Seoul, Korea Selatan untuk satu persembahan.

Di sana, dia bertemu Blackpink yang dianggotai Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa.

Pertemuan itu mencetuskan idea kepada Lipa untuk berkolaborasi dengan Blackpink.

“Tak sangka pelawaan saya untuk berduet disambut baik anggota kumpulan Blackpink. Mereka suka dengan lagu saya dan berminat menjalin kerjasama.

“Mereka terus rakam lagu ini dan menukar beberapa bait lirik kepada bahasa Korea,” katanya.

Perkembangan lain, YG Entertainment mengumumkan empat anggota Blackpink akan memulakan karier solo nyanyian.

Difahamkan, Jennie akan mulakan langkah dan diikuti Rose tidak lama selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:45 AM