IRDA komited rancangan pelaburan di Iskandar Malaysia dipenuhi.
IRDA komited rancangan pelaburan di Iskandar Malaysia dipenuhi.
Mohd Fahmi Mohd Yusof dan Farah Dinah Hassan


Johor Bahru: Wilayah pembangunan Iskandar Malaysia terus memacu visi membangunkan kawasan itu sebagai metropolis bertaraf antarabangsa yang berdaya saing dan mapan.

Sejak ditubuhkan pada 2006, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) komited merealisasikan visi yang berpandukan Rancangan Pembangunan Komprehensif (CDP) 2006-2025.

Berikutan itu, CDP II 2014 hingga 2025 sebagai kajian semula CDP 2006-2025 dilaksana bagi mengkaji keberkesanan inisiatif terdahulu, selain memahami kesan perubahan senario ekonomi global.

IRDA meletakkan lima zon utama pembangunan di seluruh wilayah pembangunan itu dan semuanya menyaksikan pembangunan pesat dengan beberapa projek direalisasikan.

Bagi zon A iaitu di pusat bandar raya Johor Bahru, antara pembangunan yang beroperasi adalah Taman Aktiviti Angry Bird, pusat beli-belah Komtar JBCC, Hotel DoubleTree by Hilton, Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) dan beberapa hotel untuk kemudahan pelancong ke bandar raya ini.

Antara projek giat dibina dan bakal disiapkan adalah Mid Valley Southkey Megamall, Astaka Padu@Bukit Senyum, Hospital Columbia Asia Tebrau, Hilton Garden Inn Hotel, Thompson Medical Specialist dan R7F Princess Cove.

Di zon B iaitu Iskandar Puteri menyaksikan paling banyak projek direalisasikan antaranya Educity@Iskandar, Bio-Xcel Malaysia, Taman Tema Puteri Harbour, Legoland Malaysia, Studio Pinewood Iskandar Malaysia, University of Reading Malaysia dan pelbagai projek pembangunan kediaman.

Projek lain bakal menyerikan zon B adalah Sekolah Antarabangsa Sunway Iskandar, Bandar Sukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Pusat Konvensyen Puteri Harbour, Nusajaya Downtown, FASTrack Iskandar (litar lumba) dan projek kediaman Sunway Iskandar.

Pembangunan Gerbang Barat (zon C) menyaksikan Loji Janakuasa Tanjung Bin disiapkan, selain beberapa lagi projek iaitu Forest City, Sunway@Pendas dan Sungai Pulai Wellness Resort kini rancak dibangunkan.

Zon D iaitu Pembangunan Gerbang Timur pula melihat lima projek direalisasikan iaitu Hotel Renaissance, Pelabuhan Tanjung Langsat, Taman Perindustrian Tanjung Langsat, The Boulevard@Permas Jaya dan City of Knowledge@Bandar Seri Alam, manakala Johor Halal Park, Taman Perniagaan Sime Darby dan Senibong Cove masih giat dibangunkan.

Sembilan projek di zon terakhir iaitu Senai-Skudai direalisasikan antaranya Johor Premium Outlet, Taman Teknologi Senai, Senai Hi-Tech Park, i-Park@Indahpura, i-Park@Senai Airport City, Setia Business Park, Eco Business Park, Synergy Cloud Data Centre (fasa pertama) dan Hershey Malaysia.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata, semua projek itu membabitkan pelaburan komited RM140 bilion daripada keseluruhan pelaburan komited diterima, RM253 bilion.

Katanya, IRDA optimis mencapai jumlah pelaburan sehingga RM30 bilion tahun ini daripada pembangunan berasaskan perkhidmatan, pembuatan, hartanah termasuk perumahan, komersial, perindustrian dan seumpamanya dalam usaha merealisasikan sasaran pelaburan komited bernilai RM383 bilion menjelang 2025.

Katanya, sehingga Disember lalu pihaknya mendapat pelaburan komited RM253 bilion dan 56 peratus daripadanya atau RM140 bilion sudah dipenuhi.

“Kami terus menerima pelaburan dalam dan luar negara apabila sehingga kini kalau kita lihat nisbahnya 63 peratus didatangkan daripada pelaburan dalam negara manakala 30 peratus daripada pelaburan luar negara.

“Negara luar paling banyak melabur di Iskandar Malaysia ialah China dengan RM30 bilion, Singapura RM20 bilion dan lain-lain negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, dan negara di rantau Eropah, Asia Pasifik serta Amerika Utara,” katanya.

Ismail berkata, IRDA ingin memastikan kekayaan dijana di Iskandar Malaysia menerima pulangan tinggi menerusi pembabitan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Johor.

“Pembabitan kerjasama ini terutama dari segi penyediaan prasarana dijangka menarik lebih banyak pelaburan dan pekerja berkemahiran tinggi serta profesional.

“Pada masa sama, kami mengadakan beberapa program meningkatkan keupayaan keusahawanan menerusi syarikat kecil dan sederhana di Iskandar Malaysia bagi membolehkan mereka menyertai pelbagai peluang keusahawanan yang tumbuh dengan pesat di sini,” katanya.

Beliau berkata, soal mendepani cabaran iklim ekonomi dunia sudah semestinya menjadi satu perkara tidak boleh dipandang ringan kerana pada awal lagi IRDA sudah meletakkan Iskandar Malaysia sebagai satu wilayah yang akan bersaing di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 8:36 AM