Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan RM383 bilion tarikan pelaburan terkumpul menjelang 2025 dengan ketika ini merekodkan pencapaian 60 peratus daripada jumlah berkenaan sejak sepuluh tahun lalu.

Malah tarikan pelaburan terkumpul itu disokong pelaburan langsung domestik (DDI) 61 peratus dan 39 peratus atau RM89.06 bilion disumbangkan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Eksekutifnya Datuk Ismail Ibrahim berkata, Iskandar Malaysia meletakkan sasaran antara RM25 bilion dan RM30 bilion setahun dan setakat Januari hingga Mac tahun ini, pihaknya merekodkan tarikan pelaburan bernilai RM5.23 bilion.

Beliau berkata, Iskandar Malaysia juga merekodkan pelaburan terkumpul RM227.67 bilion sejak 2006 hingga Mac 2017 dan daripada jumlah itu 56 peratus atau RM127.05 bilion direalisasikan pelabur.

“Kayakinan pelaburan domestik dengan pembangunan wilayah ekonomi ini juga terus kukuh apabila daripada 2006 hingga Mac tahun ini, 61 peratus atau RM132.10 bilion disumbangkan golongan pelabur berkenaan dan selebihnya iaitu 39 peratus atau RM86.92 bilion adalah FDI.

“Dengan memiliki salah satu persekitaran perniagaan yang paling kondusif di rantau ini, Iskandar Malaysia mudah menjadi tarikan pelabur berikutan terdapat tawaran gaji yang kompetitif, kadar inflasi yang rendah, tenaga kerja yang ramai serta berpendidikan.

“Malah mereka juga mudah untuk berkomunikasi dan kemudahan ini setaraf dengan infrastruktur bertaraf dunia,” katanya.

Sejak 2006, Iskandar Malaysia mempunyai tiga fasa pembangunan iaitu 2006 hingga 2010 yang memfokuskan pembangunan perancangan serta perintis dan fasa kedua berlangsung pada 2011 hingga 2015 dengan tumpuan pengukuhan dan penjanaan.

Manakala fasa ketiga berlangsung sejak 2016 sehingga 2025 yang memfokuskan kepada kemampanan untuk menjadikan wilayah itu mencapai kematangan dari segi ekonomi, sosial dan persekitaran.

Dalam temu bual berkenaan, ketika ditanya mengenai isu kemasukan pelaburan dari China yang dikatakan mendominasi pelaburan di Iskandar, Ismail berkata, sejak sepuluh tahun lalu China adalah antara negara asing yang paling utama melabur di wilayah berkenaan dengan rekod pelaburan terkumpul RM24.61 bilion dalam tempoh berkenaan.

Katanya, pemaju China ketika ini melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan baik dan pihaknya sentiasa memantau kemasukan pelabur dari negara berkenaan dari semasa ke semasa terutama membabitkan polisi pelabur China yang dilihat berubah dalam tempoh antara dua atau tiga tahun.

“Sebagai wilayah yang berhasrat untuk maju pada masa depan, kami mengalu-alukan pelaburan dari mana-mana negara, tetapi perkara lebih penting bagi IRDA adalah memastikan kemasukan pelaburan itu mampu mencipta pelbagai kesan yang positif kepada pertumbuhan di sini terutama limpahan kepada rakyat setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 1:16 PM