NAJIB cuba memandu simulasi sempena melawat bilik pameran  selepas merasmikan SMARTXP.
NAJIB cuba memandu simulasi sempena melawat bilik pameran selepas merasmikan SMARTXP.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaburan komited terkumpul Iskandar Malaysia berjumlah RM208 bilion sejak 2006 hingga Jun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 51 peratus atau RM106.43 bilion adalah pelaburan yang sudah direalisasikan.

“Daripada jumlah itu, 60 peratus atau RM124 bilion adalah pelaburan domestik manakala 40 peratus iaitu RM84.05 bilion adalah pelaburan asing,” katanya pada majlis Pelancaran Iskandar Malaysia Greenland Smart City Experiential Centre (SMARTXP), Helios Cove, Permas Jaya, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, Pengerusi dan Presiden Greenland Group, Zhang Yuliang serta Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH), Tan Sri Lim Kang Hoo.

Menurutnya, jumlah pelaburan direkodkan itu menunjukkan keyakinan negara jiran serta seluruh dunia untuk terus melabur di Malaysia.

“Mereka berbuat demikian kerana asas kita yang kuat untuk mengukuhkan ekonomi seperti mengeluarkan subsidi minyak dan gas, serta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selain mempelbagaikan ekonomi supaya kita tidak terlalu bergantung kepada hasil minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata, SMARTXP akan dibuka kepada orang ramai bagi membolehkan pelawat mengalami apa sebenarnya maksud sebuah bandar pintar melalui pelbagai teknologi digital seperti paparan skrin, realiti maya, rangsangan deria dan permainan interaktif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 8:35 AM