MOHD Saifudin menunjukkan ikan kerapu bulat berharga RM30 sekilogram (kiri) dan ikan tongkol berharga RM14 sekilogram di Pasar Bukit Besar.
MOHD Saifudin menunjukkan ikan kerapu bulat berharga RM30 sekilogram (kiri) dan ikan tongkol berharga RM14 sekilogram di Pasar Bukit Besar.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: “Kami tidak menaikkan harga sesuka hati tetapi ia berdasarkan harga pasaran yang diselaras peniaga di daerah ini,” kata Mohd Saifudin Ismail, 37.

Peniaga ikan di Pasar Bukit Besar itu menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyelar tindakan peniaga di negeri itu menaikkan harga ikan sejak kebelakangan ini.

Dakwaan itu juga tular di media sosial apabila pengguna menyifatkan situasi sedemikian tidak seharusnya berlaku di Terengganu iaitu antara negeri pengeluar hasil ikan utama di Malaysia.

Mohd Saifudin berkata, semua peniaga berharap ikan dijual mereka laris dan tidak timbul isu harga ikan di negeri itu sengaja dinaikkan bagi meraih keuntungan berganda.

Katanya, pengguna sendiri mempunyai hak dan semakin bijak berbelanja.

“Harga ikan yang terlalu mahal tidak akan terjual dan pelanggan akan beralih ke tempat lain atau memilih ayam atau daging sebagai alternatif. Akhirnya peniaga ikan juga yang rugi.

“Jika ikutkan hati, kami ingin menjual semua ikan dengan harga rendah seperti diharapkan, namun kami tidak mampu berbuat demikian kerana memerlukan sedikit keuntungan hasil perniagaan ini.

“Lagipun, perniagaan ikan bukan serancak 10 tahun lalu dan pembeli kini terlalu banyak pilihan kerana jika mereka tidak membeli di pasar, mereka boleh membeli di pasar raya atau gerai ikan di tepi jalan,” katanya yang sudah menjual ikan sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, penjual sepertinya akan memastikan harga ikan dijual berpatutan, tidak seperti yang pengguna dakwa.

Mohd Saifudin berkata, ikan kembung, selar, tenggiri, kerapu dan tongkol, selain sotong dan udang mengalami proses turun naik harga bergantung kepada penawaran hasil laut itu di pasaran.

“Ikan kembung yang sebelum ini kecoh kerana harga terlalu tinggi sehingga mencecah RM22 sekilogram pada pertengahan Januari lalu kini dijual dengan harga RM18 sekilogram.

“Sejak dua minggu lalu, ia dijual dengan harga RM15 untuk sekilogram manakala ikan tongkol pula kekal dengan RM14, tenggiri (RM38), kerapu (RM30), sotong dan udang juga kekal dengan harga RM34 untuk sekilogram,” katanya.

Dia berharap pengguna tidak menghukum peniaga di atas kenaikan harga ikan di pasaran kerana ia di luar kawalan mereka dan keuntungan diperoleh pula tidak tinggi seperti yang didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:38 AM