MOHD Saifulddin melayan pelanggan di gerai ikannya di Pasar Bukit Besar. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Saifulddin melayan pelanggan di gerai ikannya di Pasar Bukit Besar. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan bekalan dan harga ikan di pasaran malah jualan peniaga ikan di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu meningkat dua kali ganda.

Tinjauan Harian Metro ke pasar itu mendapati rata-rata peniaga menjual pelbagai jenis hasil laut seperti ikan, udang dan sotong pada harga pasaran biasa.

Peniaga, Mohd Saifulddin Ismail, 39, dari Kampung Pasir Panjang berkata, dia menjual pelbagai jenis ikan, sotong dan ketam sejak arahan PKP dikeluarkan.

“Permintaan meningkat secara mendadak dan jumlah jualan juga meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Bagaimanapun penawaran ikan tidak merosot dan masih mencukupi malah harga ikan juga hingga kini tidak meningkat seperti yang dibimbangi pengguna susulan PKP.

“Bekalan ikan itu bukan sahaja diperoleh daripada Terengganu tetapi banyak juga ikan dari Pahang, Kedah dan Johor yang dijual di pasar ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, harga ikan dijangka kekal hingga tamat PKP memandang bekalan masih mencukupi.

“Ikan tongkol kekal dijual pada harga RM14 sekilogram selain selayang RM10 hingga RM12 sekilogram, tenggiri RM40 sekilogram, udang RM34 sekilogram dan sotong RM38 sekilogram.

“Peniaga di sini hanya dibenarkan beroperasi hingga 6 petang. Perniagaan kami tidak terjejas cuma semua peniaga perlu prihatin dengan langkah pencegahan Covid-19 itu pada setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Mohd Abdul Hadi Mohd Hanafi, 23, dari Kampung Pasir Panjang berkata, kebanyakan pengguna membeli ikan dalam kuantiti banyak.

“Ikan selayang paling laris kerana lebih murah selain boleh disediakan dengan pelbagai jenis masakan.

“Sudah lama jualan ikan di pasar ini tidak meningkat seperti sekarang. Saya lega kerana harga ikan di pasaran tidak melambung tinggi sepanjang PKP jika tidak pengguna akan menyalahkan peniaga dengan beranggapan kami sesuka hati menaikkan harga ikan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 4:03 PM