TINJAUAN harga ikan di Pasar Basah Chow Kit selepas musim perayaan hari raya Aidilfitri.
TINJAUAN harga ikan di Pasar Basah Chow Kit selepas musim perayaan hari raya Aidilfitri.
Syalikha Sazili dan Siti Hasanaton Husna Alias


Kuala Lumpur: Peniaga di pasar basah masih mengekalkan harga sama bagi pelbagai jenis ikan sepanjang musim perayaan ini berikutan pemborong juga dikatakan tidak menurunkan harga barang.

Menerusi tinjauan Harian Metro terhadap harga ikan di pasar Chow Kit, hanya ikan tongkol saja mengalami kenaikan harga iaitu daripada RM9 sekilogram kepada RM10 sekilogram.

Manakala kembung, sardin, bawal, tenggiri, kerisi dan siakap masih sama iaitu antara RM8 hingga RM17 sekilogram.

Peniaga, Faisal Amri, 40, berkata, harga barang basah termasuk ikan masih sama sejak beberapa bulan lalu.

Katanya tidak semua barang basah dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), justeru rata-rata barangan di pasar basah masih mengekalkan harga sama.

“Di sini perubahan harga bergantung kepada pemborong, jika ada musim contohnya ikan atau udang banyak, maka harga barang akan murah.

“Macam sekarang barang tidak banyak, jadi harga biasa saja. Jika pelanggan tawar harga kita pun tidak boleh lebih kurang kerana tak untung banyak,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Suparno Saimin, 54, berkata, dia dan rakan niaga lain tidak menerima sebarang aduan terhadap harga pasaran.

“Pelanggan juga memahami keadaan sekarang ini, mereka merasakan harga yang ditawarkan ini masih munasabah.

“Kemungkinan minggu depan barang basah akan sampai, jadi kita jangkakan harga barang basah akan turun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 5:38 AM