Fatimah meninggal dunia selepas Toyota Avanza dipandu anak perempuannya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Banjar, Ayer Tawar, Sitiawan hari ini. FOTO ihsan pembaca dan bomba
Fatimah meninggal dunia selepas Toyota Avanza dipandu anak perempuannya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Banjar, Ayer Tawar, Sitiawan hari ini. FOTO ihsan pembaca dan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


WANITA warga emas maut, cucu lelakinya parah dan tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Banjar, Ayer Tawar, Sitiawan hari ini.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, mangsa, Fatimah Mohd Mydin, 68, meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya, Muhamad Yusazziman Mohd Yusri, 12, parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata kenderaan Toyota Avanza dipandu anak perempuan Fatimah berusia 37 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

Katanya, kenderaan berkenaan dari arah Kampung Tersusun Batu 43 menghala ke pekan Ayer Tawar dan turut berada dalam kereta itu adalah tiga anak lelaki pemandu berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang juga penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan cedera ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun yang cedera parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan susulan.

“Dua lagi kanak-kanak lelaki yang berusia empat dan enam tahun bagaimanapun hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan," katanya.

ŽKatanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:32 PM