GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI ditemui rentung dalam kebakaran sebuah tokong di Jalan Baru, Ayer Tawar di Manjung, hari ini.

Mangsa yang berusia 48 tahun itu ditemui rentung di ruangan tengah tokong berkenaan dipercayai kerana terperangkap.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mangsa yang berkerja sebagai pengutip besi tinggal bersama adik lelakinya di tokong berkenaan.

"Ketika kejadian, mangsa dan adiknya yang berusia 47 tahun sedang tidur. Adiknya sempat menyelamatkan diri manakala mangsa terperangkap di dalam.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk proses bedah siasat pagi ini," katanya ketika ditemui di Sitiawan, hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, operasi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dan dibantu BBP Sitiawan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar.

"Sebaik tiba di lokasi bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah tokong musnah terbakar 50 peratus.

"Terdapat seorang mangsa ditemui rentung pada 6.49 pagi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 10:07 AM