ANGGOTA bomba  mengusung mangsa yang tercedera.
ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang tercedera.
myMetro

Manjung: Bomba terpaksa meminta bantuan jengkaut untuk menarik lori terjunam ke dalam parit bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit selepas kenderaannya terbabas di Jalan Changkat Kruing, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, pemandu lori itu cedera akibat tersepit di tempat duduk, manakala kelindannya cedera selepas lori ais yang dinaiki mereka gagal dikawal dan terbabas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Abdul Latif Ahmad Nawawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, lori dipandu seorang lelaki bersama kelindannya masing-masing berusia 20-an itu dipercayai dari arah Changkat Kruing menghala ke Ayer Tawar.

“Difahamkan, lori berkenaan terbabas ke kanan jalan sebelum memasuki parit sedalam satu meter di tepi jalan.

“Parit itu tiada air dan bomba mengambil masa hampir sejam menggunakan bantuan jengkaut untuk menarik lori terbabit bagi memudahkan operasi,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pemandu yang tersepit pada kaki itu dalam keadaan sedar, manakala kelindan yang hanya cedera ringan di kaki keluar sendiri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk menerima rawatan dan operasi tamat jam 12 tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:48 AM