REDZA Rosli. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
REDZA Rosli. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Syafil Syazwan Jefri

[email protected].

Tidak dinafikan gosip dan kontroversi menjadi antara elemen dalam menaikkan nama seseorang artis.

Namun, tak semuanya menjadi keperluan utama dalam karier seni.

Bagi pelakon Redza Rosli, dia sendiri mengakui kemampuan gosip dan kontroversi, namun ada pendapat tersendiri.

“Sebagai artis, kadang-kadang kita bukan sengaja mencipta gosip untuk melonjakkan nama.

“Bagi saya, artis juga manusia yang menjalani kehidupan seperti orang lain. Namun, apabila ada orang lain menganggap itu sebagai gosip, benda itu akan menular dan dikaitkan dengan artis terbabit.

“Padahal kebanyakannya adalah apa yang dilakukan sebagai manusia. Sama seperti mereka yang bukan bergelar artis,” katanya.

Menurut Redza, dia sendiri lebih selesa sekiranya namanya dipandang berdasarkan bakat dan hasil kerja dalam bidang lakonan.

Berbicara mengenai kerjaya seni, pelakon yang kerap menghiasi kaca TV menerusi drama dan telefilem ini ada menerima beberapa tawaran berlakon filem, namun belum bersedia.

“Saya tahu kemampuan saya dan banyak lagi selok-belok lakonan yang perlu dipelajari,” katanya.

Ditanya sama ada dia meletakkan sasaran bila akan beraksi untuk filem, Redza mengakui selesa bergelar pelakon drama dan telefilem.

“Saya sendiri tak boleh beritahu berapa lama lagi akan berlakon dalam drama dan telefilem dan bila akan bersedia untuk filem.

“Yang pasti, kini fokus saya memang kepada drama. Kalau ada peminat atau pembikin filem yang benar-benar mahukan saya turut terbabit dalam filem, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Masih menguruskan kerjayanya sendiri sejak empat tahun lalu, Redza juga selesa bergerak tanpa pengurusan.

“Ada kalanya, saya sendiri tak sempat menjawab panggilan telefon memandangkan jadual kerja yang tidak seperti orang lain.

“Buat masa sekarang, saya selesa menguruskan kerjaya sendiri. Saya memang tak suka menyusahkan orang,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak ‘tergamak’ untuk membawa rakan ke lokasi penggambaran dan menemaninya.

“Tempoh berada di set penggambaran bukanlah singkat. Saya tak pernah membawa rakan untuk menemani di set.

“Rasa kasihan pula kalau mereka perlu menunggu lama. Walaupun yang dibawa itu adalah pembantu peribadi yang dibayar, saya tetap akan rasa tak tergamak kerana mudah kasihankan orang,” katanya.

Namun, Redza tak menafikan sekiranya ada calon yang sesuai, dia akan cuba meneliti kesesuaian untuk diambil sebagai pengurus.

Terbaru, Redza kini menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod, Isteri Untuk Diiktiraf.

“Isteri Untuk Diiktiraf akan ditayangkan di RTM pada Ramadan nanti. Antara pelakon lain yang terbabit adalah Sheila Rusly, Elvina Mohamad dan Arash Mohamad.

“Dalam drama ini, saya memegang peranan sebagai Tengku Wildan. Ia adalah watak yang sangat mencabar dan penuh dengan ego,” katanya.

Redza sentiasa mengharapkan supaya dia diberi peluang membawakan watak yang boleh meninggalkan kesan.

“Bukan saja akan meninggalkan kesan kepada penonton, tetapi diri saya sendiri. Selain itu, saya idamkan karya yang bersifat positif di samping mampu mencabar kemampuan sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:36 AM