Datuk Ayu Puteh.
Datuk Ayu Puteh.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Penerbit Datuk Ayu Puteh berharap syarikat produksi diberikan kelonggaran untuk membuat penggambaran dalam rumah selepas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan aktiviti rakaman hanya dibenarkan di dalam studio rasmi sahaja.

Ayu juga pemilik Pencil Pictures & Records Sdn Bhd berkata peluang itu akan bermanfaat untuk menjalankan penggambaran beberapa telefilem dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

"Kalau boleh, bagilah kami menjalani penggambaran dalam rumah juga selain studio tertutup. Andai diberi peluang, telefilem pun jadilah. Kalau drama episod memanglah tak boleh.

"Insya-Allah kami boleh selesaikan penggambaran dalam dan kawasan rumah sahaja. Ada saja cerita menarik yang boleh diterima untuk kami buat dengan mematuhi segala SOP ditetapkan. 

"Paling penting, hanya pasukan produksi dan artis yang mendengar kata sahaja layak berkerjasama dengan kami. Nak kerja kenalah ikut arahan terutama aspek keselamatan," katanya.

Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa itu juga menyeru setiap produksi agar jangan 'cincai' dalam mematuhi SOP penggambaran dan bersikap penting diri sehingga menyusahkan orang lain.

"Apabila sudah boleh membuat penggambaran, SOP dikeluarkan kita boleh patuh tak? Masing-masing merungut tapi ikut SOP pun 'cincai'. Baik produksi dan segelintir artis pun sama tamak haloba.

"Ada yang ambil tawaran berlakon banyak dan singgah pelbagai set. Apabila kena jangkit dan tak sihat, bukan nak cakap. Disalahkan pula set produksi yang mana mereka tak suka.

"Itu yang akhirnya semua kena jangkit. Itu pentingkan diri-sendiri namanya. Penerbit juga yang buruk masa itu. Finas dan kerajaan juga disalahkan," katanya.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini, Finas mengumumkan aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan secara dalaman atau studio dengan jumlah kru minimum tanpa penonton.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 1:50 PM