KUALA LUMPUR 17 MAC 2019. Pelakon, Jaja Illiyes pada Siri Jelajah DFKL 2019 yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
KUALA LUMPUR 17 MAC 2019. Pelakon, Jaja Illiyes pada Siri Jelajah DFKL 2019 yang diadakan di IOI City Mall, Putrajaya. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Norhayati Nordin


TIGA tahun aktif dalam bidang lakonan selepas bakatnya dicungkil menerusi platform Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016, Jaja Iliyes semakin rancak mengorak langkah. Walaupun perlu bersaing dengan ramai bakat baru, Jaja, 24, selesa berpandangan positif. Katanya, bukan mudah untuk membina nama dan ketengahkan bakat jika tidak melipatgandakan usaha sendiri.

Jaja atau nama sebenarnya Siti Hajar Iliyes berkata, dia kini sentiasa mempersiapkan diri untuk sedia mencuba apa saja watak ditawarkan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa tahun ini saya sudah mendapat peluang membawa watak utama. Kebanyakan drama lakonan saya juga pernah ditayangkan untuk slot popular di TV3 seperti Akasia, Lestary, Dahlia, Zehra dan Iris,” katanya.

Ditanya sama ada dia mungkin kelompok pelakon ‘anak emas’ TV3, Jaja berkata, dia tidak pernah berfikir hingga ke tahap itu.

“Saya masih terlalu baharu dan perlukan banyak pengalaman. Jadi, apabila kebanyakan drama atau telefilem lakonan adalah untuk tayangan TV3, saya berasakan ia sebagai peluang.

“Pada masa sama, saya perlu tingkatkan usaha dalam memperbaiki mutu lakonan dan memastikan sesuatu watak itu dapat dipersembahkan dengan baik,” katanya

Mengulas mengenai dirinya yang masih ‘bersih’ daripada gosip dan cerita sensasi, Jaja berkata, dia sangat bersyukur.

“Saya tahu peranan gosip atau cerita sensasi itu kadang-kadang sangat membantu populariti seseorang artis, namun saya lebih selesa berhati-hati.

“Ini kerana saya ada hati yang perlu dijaga iaitu ibu dan keluarga. Apatah lagi, perjalanan karier saya masih jauh. Saya tidak mengharapkan nama dikenali dengan gosip, tetapi cukuplah sekiranya bakat lakonan terus mendapat peluang,” katanya.

Jaja yang bakat lakonannya menyerlah menerusi drama Papa Nak Menantu dan Meh Sandar Pada Aku berkata, dia juga tidak memilih watak.

Katanya, apa saja watak diberi dia terima asalkan sesuai dan tidak bertindan dengan jadual penggambaran yang lain.

“Keutamaan saya adalah peluang. Jadi, untuk sentiasa memperoleh peluang itu saya perlu memastikan ada kemajuan dalam lakonan,” katanya.

Berbicara mengenai projek lakonan terbaharunya, Jaja berkata, dia akan menjalani penggambaran drama berjudul Ajari Playboy Itu pada April ini.

Dia juga idak kisah sentiasa mendapat watak yang disogok daripada drama adaptasi novel, tetapi peluang yang diberi itu adalah keutamaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 4:30 AM