EMMA berterima kasih kepada Michael Ang apabila banyak perbaiki lakonannya.
EMMA berterima kasih kepada Michael Ang apabila banyak perbaiki lakonannya.
HM Digital

Hampir lima tahun bergelar pelakon, Emma Maembong akui belum berpeluang memegang watak berat seperti aksi bergaduh.

Namun, dia bersyukur lakonan watak sedih dan air mata membuatkan penonton menyedari kehadirannya.

Bagi Emma, lima tahun tempoh yang belum cukup untuknya membuktikan kemampuan sebagai pelakon dan rasa bersyukur apabila ada yang tahu menghargai.

“Orang sering melihat saya tampil dengan watak cinta dan sedih. Tidak dinafikan saya teringin melakonkan watak aksi seperti bergaduh tetapi belum berpeluang ke arah itu.

“Namun, saya bersyukur apabila tempoh lima tahun dalam bidang seni, tawaran berlakon semakin murah walaupun kian ramai pelakon baru sekarang ini,” katanya.

Emma berkata, sejak awal terbabit dalam bidang lakonan dia lebih selesa fokus drama. Namun apabila sering ditawarkan filem, dia menerimanya tetapi belum bersedia memegang watak utama.

Sehinggalah bertemu pengarah Michael Ang, dia menyahut cabaran memegang watak utama untuk filem Kimchi Untuk Awak.

“Sesetengah orang terima saja tawaran berlakon drama dan filem. Seperti saya, pada awalnya mahu orang lihat kemampuan dalam drama dulu. Saya tidak mahu nanti menjadi pertikaian apabila orang lihat lakonan dalam filem tidak sebagus drama.

“Tidak saya nafikan skop filem lebih besar dan bersyukur Michael banyak memberi tunjuk ajar selepas terbabit dalam filem Kimchi Untuk Awak,” katanya.

Emma berkata, keserasian bekerja dengan Michael membuatkan dia selesa sehinggalah mereka kelihatan rapat.

“Saya memang perlukan pengarah seperti Michael. Jika sebelum ini saya kurang yakin memegang watak utama dalam filem, Michael banyak mengubah dan memperbaiki lakonan saya.

“Saya perlukan pengarah yang terus terang walaupun kena jerit di lokasi. Saya tidak kisah asalkan mereka tahu kelemahan yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai tahun 2018, Emma mengakui jadual hariannya hampir penuh.

Walaupun belum dapat dijelaskan mengenai tawaran yang diterima, setiap bulan sudah ada yang menawarkannya watak.

“Buat sementara ini saya berehat dan fokus dalam perniagaan. Bermula hujung Januari ini saya akan ke lokasi penggambaran Awak Suka Saya Tak yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

“Selain itu, sudah ada beberapa produksi yang menempah saya untuk berlakon tetapi belum dapat dipastikan sama ada drama atau pun telefilem,” katanya. -Syanty Octavia Amry

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 8:54 AM