DEWI Sandra. FOTO Blackpepper Production
DEWI Sandra. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir

Keteguhan cinta Fahri dan Aisha dalam filem Ayat Ayat Cinta terbitan MD Entertainment yang ditayangkan pada 2008 masih segar dalam ingatan.

Selepas 10 tahun, filem yang pernah mencetuskan fenomena dengan mencecah lebih 3.5 juta penonton di Indonesia itu kembali dengan Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2).

Masih mengekalkan pelakon utamanya, Fedi Nuril (Fahri), AAC2 bakal ditayangkan di Malaysia bermula esok.

Menariknya, dalam AAC2 pelakon cantik, Dewi Sandra diberi tanggungjawab menggalas watak utama sebagai Sabina.

Menurut Dewi, 38, watak Sabina memberikan impak yang cukup mendalam kepada dirinya sehingga terbawa-bawa ke luar penggambaran.

Dewi yang dilahirkan di Rio de Janeiro, Brazil akui mengambil masa dua minggu untuk membuang jiwa Sabina dalam dirinya.

“Sejujurnya, watak ini bukan mudah. Ia berbeza sepenuhnya dengan karakter sebenar saya. Jadi, ketika mendapat tawaran ini, secara psikologi, saya berfikir perlukan tenaga yang banyak untuk menghidupkan watak ini.

“Setiap hari, saya mengambil masa dua jam untuk disolek dan tampil buruk untuk menjiwai watak dalam filem ini. Watak ini banyak bermain dengan emosi sehingga membuatkan saya terbawa-bawa ke luar lokasi. Selepas tamat penggambaran, cabaran saya pula untuk membuang watak Sabina ini.

“Selama dua minggu, saya mengambil masa mencari diri semula. Saya tidak tengok telefon bimbit sebaliknya lebih fokus kepada keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Dewi yang juga pengacara Indonesian Idol musim kelima kembali dihantui watak Sabina apabila terpaksa menjalani penggambaran semula satu babak akibat masalah teknikal.

“Ketika dihubungi pihak produksi dan memaklumkan perkara ini, saya menangis. Bukan apa, saya sudah buang Sabina dalam diri dan kena cari semula semata-mata untuk satu babak penting. Saya terus menghubungi guru lakonan untuk membantu.

“Pada hari penggambaran, saya diam saja dan tidak bercakap dengan sesiapa pun di lokasi. Rakan pelakon ketika itu, Fedi dan Tatjana pun tidak berani nak bercakap dengan saya. Saya juga tidak menyangka impak Sabina begitu kuat,” katanya.

Pada masa sama, Dewi yang juga penyanyi lagu Hangatnya Cinta akui tertekan ketika menjayakan filem itu.

“Bohong kalau cakap saya tidak tertekan. Semua tahu filem AAC pernah mencetuskan fenomena. Seluruh Indonesia memperkatakan filem ini ketika ia ditayangkan. Malah, semua pelakonnya menjadi perhatian ramai. Pada masa sama, masyarakat juga jatuh cinta dengan setiap watak.

“Apabila diterbitkan AAC2, penerbit dan pengarah memberikan resipi baru. Ia sekali gus menjadi cabaran baru kepada semua pelakon. Mereka tahu apa yang ingin diberikan untuk AAC2.

“Alhamdulillah, selepas ia ditayangkan filem ini mendapat sambutan luar biasa. Saya terima banyak maklum balas positif. Ia membuatkan saya puas dan lega kerana sudah berjaya menghidupkan watak Sabina,” katanya.

Selain Dewi, filem arahan Guntur Soeharjanto ini turut menampilkan pelakon seperti Fedi Nuril, Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Bront Palarae dan Fazura.

DEWI Sandra. FOTO Blackpepper Production
DEWI Sandra. FOTO Blackpepper Production

Masih selektif

Kemunculan Dewi menerusi AAC2 sekali gus memberi isyarat dia bakal kembali aktif dalam bidang lakonan. Kali terakhir, dia muncul dalam filem Air Mata Syurga pada 2015.

“Saya menerima tawaran ini kerana jatuh cinta dengan wataknya malah ia kekal menjadi prinsip saya ketika bekerja yang mengutamakan jalan cerita dan watak. Dari dulu lagi, saya bukan pelakon yang terima apa saja tawaran.

“Sepanjang dua tahun lalu, saya menerima banyak tawaran menarik namun watak diberikan tidak menarik minat. Kalau boleh, saya inginkan cabaran dalam watak berkenaan. Sebagai pelakon, tentu saja saya mahu meneroka lebih banyak watak.

“Ia bukan saja untuk kepuasan diri sendiri tetapi juga kepada penonton. Saya tidak mahu mereka dihidangkan watak sama. Jadi, kalau nampak saya jarang berlakon, ini sebab utamanya iaitu selektif dalam pemilihan watak,” katanya.

Dewi juga tidak menolak kembali memainkan karakter sama seperti watak Sabina tetapi perlu lebih mencabar.

Menurutnya, dia bakal terbabit dalam projek filem genre aksi komedi yang turut memperlihatkan sisi berbeza diri dan lakonannya.

Ditanya pemilihan pelakon lelaki dalam filem lakonannya, Dewi akui dia selesa berlakon dengan sesiapa saja asalkan masing-masing profesional.

“Saya bukan memilih siapa pelakon lelaki yang layak berlakon dengan saya. Saya okey dengan semua orang. Bagi saya, setiap pelakon ada ciri khas berbeza malah percaya penerbit dan pengarah sudah membuat pilihan tepat,” katanya.

Diajak bercerita mengenai rumah tangganya, Dewi akui bersyukur dipertemukan dengan suami, Agus Rahman.

“Alhamdulillah, perkahwinan kami sudah mencecah enam tahun. Sepanjang tempoh ini, suami seorang yang sabar dan menjadi imam terbaik buat saya. Saya yakin bahagia datang selamanya kalau kita lulus ujian di dunia dan nanti bertemu di akhirat pula,” katanya.

Sebelum itu, Dewi pernah berkahwin dengan Surya Saputra pada 2000 dan bercerai pada 2004. Pernikahan keduanya dengan Glenn Fredly juga hanya bertahan sekitar tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 3:49 AM