Siti Nurfadhilah (kiri) ketika menghadiri pengkebumian tunangnya, Muhamad Yusmadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mohd Amin di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Siti Nurfadhilah (kiri) ketika menghadiri pengkebumian tunangnya, Muhamad Yusmadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mohd Amin di Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


PENUNGGANG motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 80 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kluang, semalam sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga bersama tunangnya pada penghujung tahun depan selepas setahun bertunang.

Tunangnya, Siti Nurfadhilah Mohd Hashim, 22, berkata, kali terakhir dia bertemu Muhammad Yusmadi Mohd Nizam, 25, pada Sabtu lalu ketika keluar makan bersama dan ketika itu, lelaki itu banyak membincangkan soal rancangan membina keluarga bahagia selepas berkahwin kelak.

Katanya, keadaan itu membuatkan dirinya rasa curiga kerana sepanjang tempoh pertunangan, lelaki itu seorang yang pendiam dan tidak pernah membincangkan tentang perkahwinan.

“Dia juga meminta saya mengambil gambarnya banyak-banyak dan minta disimpan baik-baik untuk melepaskan rindu sekiranya tinggal berjauhan, namun tidak menyangka semua itu petanda dia meninggalkan kami untuk selama-lamanya.

“Semua telatahnya ketika bertunang akan dijadikan kenangan abadi hubungan kami dan hanya doa mampu dikirimkan sebagai tanda sayang kepadanya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mohd Amin, Simpang Renggam, hari ini.

Siti Nurfadhilah turut megharapkan kedua ibu bapa arwah tunangnya, Mohd Nizam Mohd Rashid, 47, dan Siti Hapidah Amir Hamzah, 55, serta lima orang adiknya tabah dengan dugaan ini.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata, berita malang yang menimpa anaknya diterima ketika menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan belia tidak jauh dari kediamannya di Kampung Baru, Simpang Renggam.

Katanya, sebelum kejadian itu anak sulung daripada enam adik beradik itu menghantar mesin rumput ke rumah datuknya di kampung sama seterusnya makan nasi kerana dipercayai terlalu lapar sebaik pulang dari bekerja sebagai tukang elektrik.

“Selepas itu, dia ke rumah kawannya untuk keluar beriadah tetapi dia ke Pekan Machap terlebih dahulu untuk membeli juadah petang sebagai kudapan sambil bersembang dengan rakan-rakannya.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan berita malang itu kerana sebelum kemalangan berlaku mereka turut berbual mesra sambil membincangkan perancangan majlis perkhawinan dia nanti," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kejadian yang menimpa Muhammad Yusmadi selepas dia tidak sempat mengelak kenderaan yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, hasil daripada siasatan mendapati kemalangan ini berlaku ketika mangsa menunggang Yamaha 125Z secara berseorangan dari Pekan Machap.

“Ketika sampai di tempat kejadian, MPV yang dipandu warga emas membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian tengah kenderaan itu.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan sejurus kejadian berlaku," katanya.

Berita berkaitan:

Penunggang maut tidak sempat elak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 4:08 PM