LOKASI kejadian. FOTO ihsan Polis
LOKASI kejadian. FOTO ihsan Polis
Adnan Ibrahim


Kluang: Kanak-kanak perempuan maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di hadapan rumahnya di Taman Perling, Simpang Renggam di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, Nursyiffa Qalissya Mohd Sahab, 3, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepalanya ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini sejurus kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta memasuki simpang jalan dan ketika itu, mangsa dikatakan melintas jalan kerana hendak mengejar belon miliknya yang terlepas dari genggaman.

"Ketika kenderaan dipandu lelaki berusia 27 tahun itu memasuki simpang di Jalan Seladang 12 di sini, kanak-kanak terbabit melintas secara tiba-tiba dari kiri ke kanan menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu terlanggar kanak-kanak berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Simpang Renggam," katanya.

Mohamad berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 11:32 PM