LAPORAN terdahulu.
LAPORAN terdahulu.
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Kejadian pokok kekabu tumbang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, di sini hari ini yang mengorbankan warga emas berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, cuaca buruk itu dikesan bermula 3 petang dan berterusan selama 40 minit.

Katanya, pada 3.45 petang, Balai Polis Kupang menerima maklumat mengenai wanita berusia 84 tahun dihempap pokok dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling dan petugas kesihatan bergegas ke lokasi.

"Anggota bomba yang tiba pada 4.10 melakukan kerja pemotongan pokok untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan meninggal dunia. Identitinya dikenal pasti sebagai Rafiah Zakaria," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Selain 21 anggota pasukan penyelamat pelbagai agensi, operasi turut dibantu orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 7:19 PM