Oleh Arifin Salleh


Batu Pahat: Dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun maut selepas dilanggar sebuah lori 10 tan ketika cuba mengelak rakan sekerja yang menaiki basikal di Batu 2, Jalan Ayer Hitam-Machap, petang ini.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan penunggang motosikal Modenas Dinamix, Mohd Nizam Aziz, 23, dan pemboncengnya, Irfan Rahmad maut di tempat kejadian.

Difahamkan kedua-dua rakan sekampung yang bekerja di sebuah kilang seramik dekat sini, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Parit Kassan.

Bagaimanapun, ketika mengelak rakan sekerja warga Nepal yang menunggang basikal dari arah Machap ke Ayer Hitam menyebabkan kenderaan itu jatuh.

Mangsa dikatakan cuba bangun, namun dilanggar sebuah lori yang datang dari arah sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan menerima laporan kemalangan maut membabitkan dua lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 9:27 PM