KEADAAN kemalangan yang mengorbankan anggota polis dan seorang kanak-kanak di Simpang Renggam. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan anggota polis dan seorang kanak-kanak di Simpang Renggam. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


DUA termasuk anggota polis dan seorang kanak-kanak maut apabila motosikal berkuasa tinggi merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Kilometer 75.9 Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam, di Simpang Renggam, malam tadi.

Kejadian 9.45 malam berhampiran simpang masuk Kampung Paya itu mengorbankan anggota polis Cawangan Kenderaan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Sarjan Mohd Izahari Abu Hassan, 56, serta penumpang Toyota Vellfire, Norfarahana Komahmudah Mohamad Farouk, 8.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas MPV dipandu ibu mangsa dari Ayer Hitam cuba memasuki simpang di Kampung Paya Mas, Simpang Renggam.

Katanya, ketika MPV itu membelok ke kanan untuk memasuki kampung itu motosikal yang ditunggang anggota polis berkenaan tidak sempat mengelak menyebabkannya merempuh bahagian kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat rempuhan kuat itu, anggota polis parah di beberapa bahagian badan manakala penumpang belakang MPV itu tersepit di tempat duduknya.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Simpang Renggam untuk bedah siasat hari ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Menurutnya, turut dirujuk ke hospital sama adalah ibu mangsa dikenali sebagai Siti, 36, serta adik lelaki mangsa berusia lima tahun yang cedera.

“Proses bedah siasat dilakukan pada 9 pagi hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diharap tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Abd Rahim Razali berkata, menerima panggilan kecemasan pada 9.45 malam sebelum tujuh anggota membabitkan satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu MPV dan motosikal berkuasa besar jenis Kawasaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 10:50 AM