AMIRA bangga jadi anak didik Que, sifatkan pelakon itu guru yang handal.
AMIRA bangga jadi anak didik Que, sifatkan pelakon itu guru yang handal.
Najiy Jefri


Memilih bidang hiburan sebagai jalan hidup dan kecintaan yang perlahan-lahan disemai sejak empat tahun lalu sedang membuahkan harapan.

Amira Othman kini umpama bunga yang sedang mekar.

Bermula dengan penyertaan dalam program realiti Akademi Fantasia (AF) 2013, pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman kini semakin aktif menebarkan bakat dalam bidang lakonan.

Selepas mencipta nama menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You, gadis berusia 24 tahun ini mewarnai kaca televisyen menerusi drama Red Velvet pula arahan Michael Ang.

Menurut Amira, demi memberikan hasil yang terbaik dia sanggup mengambil inisiatif mengikuti kelas lakonan dengan pelakon Que Haidar.

Walaupun peranannya dalam drama terbabit sebagai watak pembantu, dia tetap berasakan ada keperluan untuk mengikuti kelas lakonan.

"Keputusan mengikuti kelas lakonan adalah untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Saya mahu mantapkan segala kekurangan yang ada. Lagipun, selepas melihat lakonan dalam Abang Bomba I Love You, saya dapati masih banyak kekurangan.

"Saya mahu perjalanan karier sebagi penyanyi dan pelakon seiring, tetapi nyanyian tetap keutamaan. Saya mahu pastikan lakonan saya juga diterima baik peminat," katanya.

Berkesempatan mendalami ilmu yang dimiliki Que, Amira nyata berbangga menjadi anak didiknya.

Katanya, Que seorang guru yang handal dan tidak lokek berkongsi ilmu dimilikinya.

"Saya banyak belajar cara bermain dengan emosi dan watak. Dia pandai membentuk karakter saya tanpa mengambil masa yang lama. Dia tahu apa yang saya perlu perbaiki.

"Alhamdulillah saya kini semakin yakin berdiri di depan kamera dan tidak kekok melontarkan dialog," katanya.

Berhati-hati elak kontroversi

Melihat kehadirannya yang semakin mewarnai langit hiburan, Amira semakin berhati-hati dan membataskan hubungan dengan teman artis.

Amira berkata, dia lebih selesa mengehadkan hubungan dengan teman artis hanya di lokasi penggambaran sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan kontroversi.

Pendekatan itu diambil bagi memastikan keserasian yang terbina di set penggambaran tidak dijadikan alasan untuk membawa emosi terbabit hingga ke luar.

"Saya terbuka untuk bekerja dengan sesiapa saja. Tidak kisahlah gandingan itu berstatus suami orang kerana setakat ini mereka yang berlakon dengan saya tahu tanggungjawab masing-masing.

"Namun sebagai langkah berhati-hati, saya tidak akan berurusan selepas habis kerja melainkan ada urusan penting. Itu pun saya akan guna orang tengah untuk membantu," katanya.

Dikenali melalui lagu Hati Hati ciptaan Faizul Sany, Hael dan Mike Chan, Amira bakal merakamkan single baru ciptaan Hael Husaini berjudul Mimpi Indah.

Amira mengakui teliti dan cerewet dalam pemilihan sesuatu lagu kerana mengutamakan kualiti.

"Bukan mudah untuk menambat hati pendengar. Tambahan pula, banyak penyanyi baru hadir dan mempertaruhkan single yang hit.

"Jadi saya perlu pastikan melodi dan lirik yang diketengahkan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya akui tertekan selepas lagu Hati-hati dan Jaga Jaga berjaya memikat hati pendengar.

"Jadi, saya mahu kesinambungan itu berterusan untuk lagu seterusnya. Sebab itu saya yakin usah terburu-buru," katanya.

Ditanya mengenai statusnya yang belum berpunya, Amira menjelaskan, dia sedia membuka pintu hati tahun depan ketika usia mencecah 25 tahun.

"Mungkin tahun depan saya makin terbuka untuk berteman. Saya juga tidak kisah kalau keluarga yang tolong carikan (jodoh) kerana yakin mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 4:34 AM