Oleh Michelle Gun


Kuala Lumpur: Video muzik lagu tema drama bersiri Abang Bomba I Love You, Jaga Jaga nyanyian Amira Othman mencecah sejuta tontonan dalam tempoh 10 hari dimuat naik di YouTube.

Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 23, berkata, pencapaian itu tidak mengejutkan berikutan populariti drama berkenaan di Astro Ria.

"Video muzik Jaga Jaga dikeluarkan selepas drama ini ditayangkan. Sebelum itu, memang ada peminat minta saya buat video muzik.

"Tak sangka video muzik ini mendapat sambutan luar biasa dalam masa singkat dan saya sangat terharu," katanya yang turut membintangi drama Abang Bomba I Love You.

Ujar Amira lagi, video muzik single Hati Hati pernah mencecah lebih 8.6 juta tontonan di YouTube namun tempoh untuk mencapai jumlah itu hampir setahun.

"Ramai penonton memberi makluman balas terhadap lakonan saya dalam Abang Bomba I Love You.

"Baik positif mahupun negatif kritikan itu, saya terima dengan terbuka demi memperbaiki mutu lakonan. Malah, ada yang meminta saya fokus menyanyi sahaja," katanya.

Amira kini sibuk menghabiskan penggambaran babak terakhir drama 16 episod itu.

"Penggambaran drama ini memenatkan kerana sepanjang dua bulan hampir setiap hari saya balik lewat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 9:30 PM