Nor Azura Abdul Jalil


KEMELUT perkahwinan antara penyanyi, Hafiz Hamidun dan usahawan kosmetik, Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Revfa bakal berakhir apabila Hafiz memfailkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, hari ini.

Hafiz, 33, yang diwakili peguam syarie Azmi Mohd Rais memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Tidak wujud persefahaman antara mereka adalah antara alasan yang diberikan oleh Hafiz dalam pernyataan samannya selain mendakwa Joy Revfa melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.

"Joy juga menyusahkan saya selepas bernikah kerana gagal memberi sijil cerai dengan bekas suami yang mana menyebabkan status perceraian mereka hanya diselesaikan pada 10 Oktober lalu," katanya.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk sebutan bagi pendengaran kes itu.

Saman berhubung permohonan cerai itu akan diserahkan kepada Joy Revfa, 30, pada sidang media yang akan dilakukan wanita itu di Mahkamah Syariah Shah Alam pada petang ini.

Sementara itu, ketika ditemui media selepas memfailkan permohonan itu, Hafiz yang pernah menganggotai kumpulan nasyid UNIC berkata, dia terfikir untuk memfailkan perceraian itu dua hari lalu, selepas kes pengesahan cerai antara Joy Revfa dengan ahli perniagaan, Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim pada 12 Januari 2015 disahkan Mahkamah Syariah Shah Alam.

“Banyak isu tergantung ketika perkahwinan dengan bekas suaminya. Pihaknya (Joy Revfa) mendapat hikmah daripada keputusan mahkamah Selasa lalu dan banyak perkara dapat diselesaikan.

"Keadaan itu sebelum ini memberi impak kepada hubungan kami," katanya.

Berhubung dakwaan Joy Revfa yang mereka pernah 'bersama', Hafiz berkata, wanita itu patut waras dan sedar dengan apa yang diperkatakannya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz memaklumkan dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy Revfa masih mengeluarkan kenyataan negatif berkaitan dirinya kepada umum namun buat masa sekarang dia hanya mahu fokus pada kes syariah.

"Sebenarnya saya tidak berminat langsung dengan apa yang dia luahkan dalam media sosial. Saya tidak mahu layan apa yang dia cakap kerana kenyataannya tidak berasas dan ia lebih kepada emosi," katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 3:21 PM
Hafiz hadir ke mahkamah bagi memfailkan perceraian perkahwinannya bersama Joy Revfa. FOTO Mohd Asri Saifuddin
Hafiz hadir ke mahkamah bagi memfailkan perceraian perkahwinannya bersama Joy Revfa. FOTO Mohd Asri Saifuddin