KRISIS rumah tangga Haifz dan Joy dapat perhatian ramai. FOTO Mohd Asri Saifuddin / Arkib NSTP.
KRISIS rumah tangga Haifz dan Joy dapat perhatian ramai. FOTO Mohd Asri Saifuddin / Arkib NSTP.
Michelle Gun & Syafil Syazwan Jefri


“SAYA memang tidak mahu meneruskan pernikahan ini. Saya sangat lapang hati dan setuju untuk meneruskan permohonan cerai ini.”

Demikian kata Joy Revfa, 30, ketika diminta mengulas tindakan suaminya, penyanyi Hafiz Hamidun, 33, memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, hari ini.

Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin berkata, dia tidak tahu mengenai permohonan cerai itu dan hanya dimaklumkan mengenainya oleh pihak media.

"Pihak Hafiz tidak beritahu apa-apa. Pihak media yang beritahu tadi.

“Apabila Hafiz bertindak demikian, ia boleh menyebabkan ramai orang keliru. Ini kerana sebelum ini dia mendakwa saya bukan isterinya. Jadi, apabila dia memfailkan perceraian, secara tidak langsung ini menunjukkan saya adalah isterinya," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Shah Alam, hari ini.

Usahawan kosmetik itu turut berpendapat Hafiz bukanlah lelaki yang baik dan bertanggungjawab.

"Dia gagal melindungi saya sebagai isteri. Bagi saya, dia tidak layak menjadi suami. Ini kerana dia gagal memberi nafkah batin," katanya.

Menurut Joy, dia sudah berusaha untuk berdamai dengan Hafiz sejak Mei lalu, namun tidak diendahkan penyanyi terbabit.

"Sebagai isteri, sudah tentu saya mahu berdamai dengan suami dan sudah banyak kali menghubungi dia untuk menyelesaikan masalah kami. Bagaimanapun, saya kesal apabila dia enggan bersemuka, malah tidak dilayan,” katanya.

Dalam pada itu, Joy akan memfailkan sama terhadap beberapa blog yang menyiarkan berita membabitkan permohonan cerai taklik dilakukannya Julai lalu.

"Setahu saya, hanya tiga pihak saja tahu mengenai permohonan itu. Berita yang dipaparkan blog berkenaan menyebabkan netizen mencaci saya sebagai pelacur dan anak kandung saya sebagai anak haram," katanya.

Sementara itu, Hafiz enggan mengulas apabila dimaklumkan mengenai sidang media yang diadakan Joy.

"Saya tahu dia adakan majlis sidang media hari ini. Apa saja yang dikatakannya dalam sidang media itu, saya tak mahu ambil tahu kerana itu hak dia," katanya.

Pasangan ini mendirikan rumahtangga pada 1 Mei lalu. Hasil perkahwinan terdahulu, Joy dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 4:53 PM