Hafiz penat dengan isu. FOTO fail HM/ROSELA ISMAIL
Hafiz penat dengan isu. FOTO fail HM/ROSELA ISMAIL
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI nasyid popular Hafiz Hamidun meminta orang ramai agar tidak keliru dengan kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkenaan status pernikahan dengan wanita Siti Arifah Amin atau Joy Revfa.

Hafiz berkata, kenyataan dikeluarkan itu memang benar di mana permohonan pernikahan pada 1 Mei diluluskan dan bukan memutuskan pernikahan itu sah atau seperti didakwa Joy dalam status Instagram miliknya.

"Kenyataan JAIS itu sama seperti apa yang saya jelaskan dalam sidang media Selasa lalu. Kalau dibaca dengan teliti tidak ada apa yang mengelirukan, cuma orang kita keliru dengan tajuk berita itu.

"Disebabkan itu saya dihentam pengguna laman sosial. Pada masa sama, Joy tidak sepatutnya memuat naik status dengan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai," katanya kepada Harian Metro.

Hafiz juga menasihati Joy agar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga tiba hari perbicaraan pada 14 September ini.

"Joy tidak boleh menganggap pernikahan kami sah menerusi kenyataan JAIS itu. Saya tetap dengan pendirian sebelum ini yang mana pernikahan kami tidak sah berdasarkan beberapa fakta kukuh.

"Jangan manipulasi kenyataan yang ada. Isu sekarang bukan lagi membabitkan pernikahan sah atau tidak, sebaliknya kembali kepada tuntutan Joy iaitu faraq nikah atau pembubaran nikah," katanya.

Dalam masa sama, Hafiz tidak marah dengan komen yang dilemparkan kepadanya di laman sosial kerana menganggap mereka tidak faham situasi sebenar.

"Bagi yang faham apa berlaku, tidak ada masalah. Cuma yang tidak faham saja yang main cakap dan hentam.

"Saya sudah penat dengan isu ini. Kalau boleh saya nak habiskan cepat. Banyak lagi perkara lain saya nak buat. Sehinggakan kalau saya muat naik gambar orang tetap komen yang bukan-bukan," katanya.

Terdahulu pada Selasa lalu Hafiz dalam satu sidang media khas menjelaskan dia tidak pernah 'bersama' dengan Joy.

Menerusi kenyataan sama, Hafiz memaklumkan, permohonan cerai taklik Joy dengan bekas suami, Mohd Rayos Abdul Rahim disahkah jatuh talak satu pada 13 Julai lalu.

Berita berkaitan:

Joy Revfa akan cerita di mahkamah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:03 PM