Sudirman Mohd Tahir


"Joy jangan main-main."

Demikian amaran penyanyi nasyid popular Hafiz Hamidun kepada Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Revfa mengenai isu status pernikahan mereka pada 1 Mei lalu.

Hafiz, 33, berkata dia mahu Joy mengambil serius perkara ini kerana ia sedang menimbulkan banyak masalah.

"Sebelum ini kami cuba selesaikan secara baik, tetapi apabila dia memfailkan permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) dan membuat sidang media, jadi saya akur. Saya beranggapan dia memilih jalan ini dan saya perlu ikut saluran undang-undang juga.

"Pada awalnya saya tak menjangka isu ini akan berlarutan sejauh ini, tetapi saya perlu sabar. Saya masih kekal dengan pendirian saya sebelum ini iaitu berdasarkan fakta yang ada dan bukannya mengikut emosi," katanya ketika ditemui Harian Metro di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Hafiz mengakui dia tidak menyesal berkahwin dengan Joy sebaliknya menganggap ia perkara teknikal.

"Apa yang terjadi ini hanya masalah teknikal. Kita tidak boleh menghentam dia, apatah lagi perkahwinan adalah ibadah dan satu perkara besar.

"Negara kita ada undang-undang dan saya perlu hormati. Jadi, tak perlu timbul isu menyesal atau tidak. Sebaliknya saya memandang dari sudut positif," katanya.

Menurut Hafiz, dia tidak malu kisah perkahwinannya ini menjadi buah mulut malah mahu orang ramai mengambil iktibar dan teladan.

"Apabila dia memulakan isu ini, jadi tak perlu lagi nak buat secara tertutup. Kalau orang ramai nak ambil tahu, saya okay dan memang itu sebaiknya.

"Lagipun tidak ada apa yang perlu diselindungkan sebab semua orang pun sudah sedia maklum. Ia juga bagus untuk masyarakat belajar mengenai isu begini terutama perundangan syariah di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut mempersoalkan tindakan Joy memfailkan faraq nikah sedangkan wanita itu yakin perkahwinan mereka sah.

"Satu saja saya nak tanya dia, kalau betul dia yakin pernikahan kami sah kenapa dia memfailkan faraq nikah? Hanya orang yang tak betul saja akan buat perkara itu," katanya.

Sementara itu, Joy ketika ditemui tetap dengan pendirian mengatakan pernikahannya dengan Hafiz adalah sah.

"Ya, saya sabar untuk menunggu kes ini sehingga selesai. Paling penting saya yakin perkahwinan ini sah," katanya ringkas.

Dalam masa sama, Joy mengakui terkilan dengan beberapa kenyataan dikeluarkan blogger yang memutar belit fakta sehingga mencalar imej dan maruahnya.

"Kenapa pihak yang menyebarkan itu berniat menjatuhkan dan memalukan saya sedangkan perkara ini boleh selesai dan tak perlu disensasikan, katanya.

Berita berkaitan:

'Please Joy' jangan manipulasi kata Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:41 PM
Hafiz (baju biru) hadir bersama peguam untuk sebutan pertama permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) bersama Joy. FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Laporan pada 25 Ogos lalu. FOTO fail HM