Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Bapa borek anak rintik. Itu ungkapan sesuai menggambarkan tindakan dua beranak yang dicekup polis bersama rakan mereka kerana dipercayai terbabit kegiatan pecah rumah di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, dua beranak itu dan rakan mereka ditangkap pada 6 September lalu di sini, menerusi Ops Pintu susulan beberapa laporan kejadian pecah rumah sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, jam 11.30 malam pada 6 September lalu.

“Hasil siasatan polis menyerbu kediaman tukang rumah berusia 36 tahun terbabit di Kangar selepas dipercayai menjadi dalang dalam beberapa kejadian pecah rumah di negeri ini.

“Selepas menyoal siasat suspek di rumahnya membawa kepada tangkapan kedua iaitu pemilik kedai barangan lusuh berusia 31 tahun dipercayai rakan kongsinya pada jam 1.30 pagi keesokannya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, semalam.

Menurut Azisman, hasil soal siasat terhadap suspek kedua membawa kepada penangkapan suspek ketiga iaitu anak suspek pertama di kediamannya pada jam 3.30 pagi hari yang sama.

“Polis percaya suspek pertama dan anaknya bertindak sebagai pencuri utama memandangkan kepakaran suspek sebagai tukang rumah dalam membina rumah manakala suspek kedua menjual barangan curi mereka di kedai barangan lusuh miliknya yang beroperasi di Kangar untuk dikongsi keuntungannya.

“Semua mereka kini direman sehingga 13 September dan soal siasat masih dijalankan ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tiga suspek berkenaan mengaku terbabit dalam lapan kes pecah rumah dan pejabat di daerah Padang Besar, Arau dan Kangar.

“Terbaru, mereka juga mengaku terbabit mencuri empat tayar kereta yang diparkir di kawasan Hospital Tuanku Fauziah.

“Bagaimanapun, kami percaya mereka juga terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah lain dan saya menasihatkan orang awam jika ada membeli barangan terpakai perlu memeriksanya terlebih dulu.

“Jika mereka mengesyaki barangan terbabit adalah barangan curi boleh tampil membuat laporan di balai polis,” katanya.

Azisman berkata, keseluruhannya polis merampas barangan curi daripada suspek antaranya barangan elektronik seperti set televisyen komputer, pemain video cakera padat, seterika wap dan beberapa barangan berupa perabot, peralatan muzik dan tayar berserta rim yang dianggarkan bernilai RM15,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457, Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:42 AM
AZISMAN (kanan) melihat barang yang dirampas dalam Ops Pintu  di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis. FOTO Azhar Ramli
AZISMAN (kanan) melihat barang yang dirampas dalam Ops Pintu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis. FOTO Azhar Ramli