SURINA menunjukkan gambar 30 penjenayah yang dikehendaki pada sidang media di IPK Perlis.
SURINA menunjukkan gambar 30 penjenayah yang dikehendaki pada sidang media di IPK Perlis.
Aizat Sharif


SEORANG lelaki sanggup menempuh laluan sejauh 307 kilometer dengan menaiki bas dari Kelantan ke Butterworth, Pulau Pinang hanya untuk mencuri wang di kedai sebelum pulang semula ke kediamannya di Pasir Mas.

Lelaki yang berusia 22 tahun itu turut meluaskan kawasan jenayahnya ke Perlis apabila dua kedai di Kangar menjadi mangsa kumpulannya yang digelar Geng Utara Timur.

Bagaimanapun, perbuatannya yang juga ketua kumpulan itu berakhir selepas polis menahannya di Terminal Bas Sentral, Butterworth, Pulau Pinang jam 4.30 pagi 9 Oktober lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada penahanan tiga anggota lain berusia 22 hingga 38 tahun di Pulau Pinang pada hari sama.

Ia sekali gus membongkar kegiatan kumpulan terbabit yang aktif melakukan perbuatan berkenaan sejak sebulan lalu.

“Siasatan mendapati suspek utama yang berasal dari Pasir Mas mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek lain. Dia adalah sepupu kepada tiga suspek lain dari Pulau Pinang.

“Mereka menggelarkan kumpulan sebagai Geng Utara Timur,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, semalam.

Modus operandi kumpulan ialah tiga anggota yang tinggal di Pulau Pinang menjadi mata dan telinga kepada suspek utama yang menetap di Pasir Mas.

“Seorang daripada suspek bertugas sebagai pengawal keselamatan manakala yang lain tidak bekerja.

“Mereka memaklumkan kepada dalang mengenai lokasi kedai sesuai untuk dipecah masuk sebelum suspek mengatur perjalanan dari Pasir Mas ke Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, tiada sasaran khusus untuk kedai yang dipecah masuk sebaliknya suspek mencari peluang sesuai untuk bertindak berdasarkan maklumat anggota kumpulan serta pemantauannya sendiri.

“Dalam siri kes pecah kedai di Perlis, suspek sanggup menempuh tujuh jam perjalanan dari Pasir Mas ke Kangar untuk memecah masuk kedai yang dilihatnya longgar keselamatan.

“Bagi kes di Kangar, suspek memecah masuk dua kedai iaitu kedai kain dan farmasi di bandar ini sebelum melarikan wang tunai dari peti keselamatan di kedai berkenaan dan pulang ke Pasir Mas,” katanya.

Surina berkata, dengan penahanan berkenaan, pihaknya berjaya menyelesaikan dua kes pecah masuk kedai di Perlis manakala lima lagi kes pecah masuk kedai disiasat polis Pulau Pinang membabitkan kumpulan ini.

“Kumpulan ini hanya menyasarkan wang tunai di dalam kedai dan wang itu digunakan untuk membeli barangan lain seperti televisyen, mesin basuh dan kipas angin.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM12,000 manakala kerugian bagi tujuh kes di Pulau Pinang dan Perlis RM66,850,” katanya.

Semua suspek positif dadah dan direman di IPK Pulau Pinang selepas tempoh reman mereka di Perlis tamat 18 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Surina memohon bantuan orang awam mengesan dan memaklumkan kepada polis mengenai 30 individu yang dikehendaki polis di negeri itu.

Mereka terbabit dengan kesalahan dan jenayah curi, pecah rumah, cabul kanak-kanak, pertaruhan tidak sah dan penipuan yang dilakukan sejak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:45 AM