KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berasingan membabitkan suspek kes pecah rumah dan curi kabel di daerah ini.
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berasingan membabitkan suspek kes pecah rumah dan curi kabel di daerah ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan tujuh lelaki selepas dipercayai terbabit kegiatan pecah rumah dan curi kabel di sekitar daerah ini serta merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM300,000 dalam beberapa serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan pertama dilakukan jam 11 pagi di sebuah menara di Jalan PJU 7/6 Mutiara Damansara, di sini, yang membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 30 tahun.

“Hasil soal siasat dilakukan, kedua-dua suspek mengaku mencuri kabel dan menjualnya di sebuah kedai barangan lusuh di Puchong.

“Bagi serbuan kedua, polis menahan dua lelaki berhampiran sebuah lori di Taman Impian Baiduri, Jalan 224 Seksyen 51a, Sungai Way kerana disyaki terbabit kegiatan mencuri kabel,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 36 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan selain seorang daripada mereka disenaraikan sebagai individu dikehendaki.

“Dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek itu, kami membuat serbuan di sebuah premis besi buruk di Taman Desa Ria dan menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dikenali sebagai ‘Boy’ yang dipercayai pembeli kabel curi.

“Kami turut merampas satu guni mengandungi wayar tembaga yang sudah dibakar, tangga aluminium, pemotong wayar dan pelbagai anak kunci. Ketiga-tiga suspek ini mengaku bekerja dengan seorang lelaki bernama Benet.

“Hasil serbuan seterusnya, kami berjaya menahan Benet bersama seorang rakannya di sebuah apartmen di Sungai Way jam 6.20 petang, semalam,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 32 tahun itu mempunyai rekod jenayah dan dadah.

“Selain itu, pihak polis turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, tukul, mesin hampagas, minyak masak dan komputer.

“Semua suspek direman selama antara empat hingga lima hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:12 PM