Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEGIATAN Geng Akif yang didalangi penagih syabu tumpas apabila suspek ditahan bersama tujuh ahli kumpulan itu kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi motosikal di Perlis serta Kedah.

Kesemua mereka berusia 19 hingga 29 tahun yang berada dalam senarai paling dikehendaki polis ditahan dalam Op Lejang pada 10 Februari lalu di Kodiang dan Sanglang, Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Azahar Muda berkata, polis merampas pelbagai aksesori telefon bimbit, sebuah enjin motosikal, enam motosikal, sebuah kereta dan peralatan pecah rumah bernilai lebih RM36,000 daripada mereka.

“Kumpulan ini mula bergiat aktif sejak tahun lalu apabila berlakunya peningkatan kecurian motosikal di dalam premis dan pecah rumah sekitar Arau dan Kubang Pasu.

“Siasatan mendapati mereka akan melakukan risikan terlebih dahulu serta menyasarkan rumah dan premis di lokasi sunyi sebelum melakukan jenayah pada waktu malam.

“Bagaimanapun, polis mengesan cap jari salah seorang suspek selepas kejadian pecah masuk premis menjual telefon bimbit di Taman Tengku Budriah, Arau pada 9 Februari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, hari ini.

AZAHAR (tengah) bersama barangan rampasan yang disimpan ‘Geng Akif’ dalam serbuan di sebuah rumah di Kodiang Kedah pada 10 Februari lalu. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
AZAHAR (tengah) bersama barangan rampasan yang disimpan ‘Geng Akif’ dalam serbuan di sebuah rumah di Kodiang Kedah pada 10 Februari lalu. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Azahar berkata, pihaknya kemudian menahan seorang suspek di sebuah rumah di Jalan Sanglang-Kodiang, Kedah pada keesokkannya.

Menurutnya, susulan itu pihak polis berjaya menahan ketua kumpulan berusia 21 tahun bersama enam lagi ahli kumpulannya pada hari sama.

“Ahli kumpulan ini menjadikan rumah ketua mereka sebagai markas dengan mengumpulkan barangan curi.

“Hasil siasatan mendapati mereka tidak bekerja dan menyara kehidupan dengan mencuri. Mereka juga mempunyai pelbagai rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah dan dadah.

“Saringan ujian air kencing mendapati semua suspek mendapati positif dadah jenis syabu dan kita percaya mereka mencuri bagi mendapatkan bekalan dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman sehingga Ahad ini sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi membantu siasatan kes pecah rumah di negeri terbabit.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 29(1), Seksyen 379, Seksyen 411, Seksyen 414 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Dengan tumpasnya Geng Akif, pihak polis berjaya menyelesaikan 12 kes yang membabitkan jenayah pecah rumah sekitar Perlis dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 8:32 PM