WANITA (bertudung kuning) dan anaknya (baju oren, kiri) bersama seorang lelaki (baju oren, kanan). FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
WANITA (bertudung kuning) dan anaknya (baju oren, kiri) bersama seorang lelaki (baju oren, kanan). FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA dan anak lelakinya antara tiga ditahan polis semalam kerana terbabit jenayah pecah rumah dan curi di Kampung Padang Melangit, Kangar, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi berkata, wanita berusia 50 tahun itu dan anaknya, 17, ditahan di rumah mereka di Chuping, malam tadi manakala seorang lagi suspek berusia 29 tahun yang tahan di lokasi lain.

Beliau berkata,dalam kejadian 4 Januari lalu, mangsa yang juga seorang guru sekolah rendah mendapati bilik tidurnya berselerak apabila pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

"Mangsa pulang ke rumah dari tempat kerjanya pada 1.50 tengah hari.

"Mangsa berasa curiga dengan keadaan bilik tidurnya yang berselerak sebelum mendapati barangan kemas yang disimpan dalam almari turut hilang selain pintu belakang rumahnya dipecahkan," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah mangsa, polis menemui enam kesan cap jari yang membawa kepada penangkapan ketiga-tiga suspek.

"Setakat ini tangkapan yang dilakukan adalah tiga orang memandangkan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian sepadan dengan suspek berusia 29 dan 17 tahun.

"Manakala wanita tahun itu ditahan polis kerana bersubahat dengan memiliki barangan kemas curi sebelum menggadainya di premis pajak gadai di negeri ini.

"Dua beranak terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau tetapi rakan suspek berusia 29 tahun memiliki rekod kesalahan pecah rumah sekitar negeri ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk premis dan mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:23 PM