KEADAAN keluarga Abdul Aziz Abdullah bersama anak-anaknya di dalam khemah daif. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
KEADAAN keluarga Abdul Aziz Abdullah bersama anak-anaknya di dalam khemah daif. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
Amirul Haswendy Ashari

MISI kemanusiaan dengan Heliza Helmi memang tidak dapat dipisahkan.

Selagi ada peluang, penyanyi dan pengacara itu pasti melakukannya tanpa banyak soal.

Terbaharu, Heliza dan adiknya yang juga penyanyi, Hazwani kembali ke beberapa kem pelarian

Syria di sempadan negara bergolak itu sejak 14 Januari lalu.

Selepas kali terakhir ke negara itu tahun lalu, misi kali ini bersifat kecemasan kerana musim sejuk yang melanda negara itu sejak bulan lalu.

“Kami dapat panggilan untuk menyertai misi itu tidak sampai 24 jam. Jadi, kelam kabut sediakan kelengkapan apatah lagi malam sebelum berlepas, kami buat persembahan pembukaan di Konsert Sabyan Gambus di Shah Alam.

“Selesai saja konsert, kami terus ke KLIA dan menaiki penerbangan bersama anggota misi pada jam 2 pagi,” katanya.

Heliza berkata, mereka mengambil masa dua hari untuk tiba ke lokasi kem pelarian dan apabila tiba di lokasi, mereka terpaksa memakai lebih lima lapis pakaian kerana suhu sejuk melampau yang melanda beberapa kawasan kem selain salji tebal.

HAZWANI mendengar bacaan surah Al Kahfi
HAZWANI mendengar bacaan surah Al Kahfi

Katanya, walaupun salji turun dengan lebat sehingga menenggelamkan beberapa laluan ke kem pelarian, mereka tetap meneruskan perjalanan dan me­nyampaikan sumbangan.

Antara situasi yang dilihat adalah kebanyakan kem pelarian tiada kelengkapan untuk menghadapi musim sejuk.

“Ada satu kem yang kami lawati alat pemanas mereka kehabisan minyak jadi mereka terpaksa membakar kayu api untuk memasak air untuk mendapatkan haba.

“Sebab itulah pada misi kali ini kami buat wakaf antaranya bantuan selimut tebal, khemah pelarian, bantuan ubat-ubatan, alat pemanas, pek makanan dan bahan bakar,” katanya yang juga meminta penderma mewakaf agar merujuk laman Instagram @nurhelizahelmi untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, Hazwani juga berkongsi, misi dua tahun lalu mereka pernah berdepan situasi cemas ketika menghantar sumbangan ke beberapa kawasan di Syria.

Katanya, masyarakat setempat sudah memberi amaran beberapa lokasi yang mereka kunjungi sangat berbahaya.

HELIZA tidak mampu menahan sebak. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
HELIZA tidak mampu menahan sebak. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi

“Selepas ke sana, ternyata amaran mereka benar kerana ketika mengagih barangan, kami terdengar bunyi jet pengebom berlegar di udara.

“Ketika melayan kanak-kanak di satu lagi kawasan, terdengar bunyi tembakan. Ketika itu kami hanya mampu mengucap dan mengingat mati,” katanya.

Berkongsi pengalaman, terbaharu, dua beradik yang dikenali melalui lagu berjudul Jom Selawat berkata, antara pengalaman lain ditempuhi tahun ini bertemu dengan satu keluarga pelarian.

Keluarga Abdul Aziz Abdullah, 69, terpaksa menyelamatkan diri dan keluar dari Syria meninggalkan isterinya yang sakit.

Kata mereka, Abdul Aziz berjalan kaki menuju Lubnan selama 50 hari sebelum tiba ke sebuah kem pelarian di sini.

“Tanpa wang, dia membawa bersama dua anak perempuan dan tiga anak lelaki yang

masih kecil namun terpaksa meninggalkan isteri bagi membawa

anak-anak mereka ke tempat selamat.

SEORANG pelarian Syria memeluk erat Heliza selepas menerima sumbangan. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
SEORANG pelarian Syria memeluk erat Heliza selepas menerima sumbangan. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi

“Saya dapat melihat sendiri lantai dalam khemah mereka sangat daif, tiada makanan dan alat pemanas yang rosak. Saya tidak tahu nak gambarkan bagaimana,” kata Hazwani menangis saat mengenangkan nasib mereka.

Apatah lagi suhu sejuk boleh mencecah -10 darjah Celsius manakala khemah pula sangat usang dan boleh roboh jika salji lebih lebat pada satu-satu masa.

Sasar lebih RM1 juta

Pada peringkat awal, mereka bersama anggota misi daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyasarkan kutipan sebanyak RM500,000.

Namun, selepas melihat kedaifan pelarian pada musim sejuk kali ini, mereka mula menyasarkan kutipan sumbangan lebih RM1 juta.

HAZWANI (kiri) dan Heliza mendengar penerangan Dr Ahamad Sany Araby, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
HAZWANI (kiri) dan Heliza mendengar penerangan Dr Ahamad Sany Araby, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim. FOTO Heliza Helmi dan Hazwani Helmi

“Saya terharu ramai sahabat artis, peminat dan saudara mara mula menularkan pengalaman dilalui kami melalui laman sosial,” kata Heliza terharu.

Heliza berkata, antara bantuan ‘terdesak’ yang diperlukan untuk setiap keluarga pelarian adalah RM200 untuk bantuan selimut tebal, RM2,500 untuk satu khemah pelarian, RM500 untuk bantuan ubat-ubatan, RM200 bantuan pek makanan untuk satu bulan, RM250 bantuan alat pemanas dan RM250 untuk keperluan baju tebal musim sejuk.

Dalam misi kali ini, mereka dijangka berada di sana selama 10 hari untuk mengedarkan bantuan berupa khemah, ubat-ubatan, alat pemanas dan baju sejuk kepada pelarian Syria di beberapa kem pelarian di sempadan Syria/Lubnan.

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui laman web www.tabungsyria.com.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:01 AM