WAJAH ceria kanak-kanak pelarian Syria menerima bantuan daripada CSM.
WAJAH ceria kanak-kanak pelarian Syria menerima bantuan daripada CSM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 10 sukarelawan pertubuhan kemanusiaan tempatan, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) berlepas ke Lubnan, awal pagi ini, dalam misi bantuan musim sejuk.

Misi Aman Palestin selama 15 hari itu diketuai oleh Pengarah Media dan Dokumentasinya Anas Abdul Wahab yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Rombongan 10 peserta turut disertai wartawan Harian Metro yang mengambil penerbangan secara transit di Doha, Qatar menuju ke Beirut sebelum menggunakan pengangkutan darat ke Arsaal dan Lembah Beeqa.

Anas berkata, ini kali kedua Aman Palestin ke penempatan pelarian Syria di Lubnan untuk menyampaikan misi bantuan musim sejuk.

“Kita menjangkakan pergi ke 103 kem pelarian di daerah Arsaal dan Lembah Beeqa sepanjang misi sukarewan berkenaan.

“Selain menyelami keperitan akibat tersepit dalam konflik berdarah, sukarelawan Aman Palestin juga akan mengagihkan sumbangan kepada pelarian yang berlindung di kem berkenaan,” katanya.

PELARIAN Syria menerima sumbangan daripada CSM.
PELARIAN Syria menerima sumbangan daripada CSM.

Menurutnya, sukarelawan akan menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Syria dan Palestin boleh terus menyumbang kepada Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 2:35 PM