KAULA LUMPUR 28 DISEMBER 2023. Kem Pelarian IDP Al Jufaenah, Marib, Yaman, yang terbesar di Timur Tengah
KAULA LUMPUR 28 DISEMBER 2023. Kem Pelarian IDP Al Jufaenah, Marib, Yaman, yang terbesar di Timur Tengah
Othman Mamat


Marib (Yaman): Negeri Marib di tengah Yaman, kini menjadi penempatan kepada lebih dua juta pelarian yang melarikan diri dari beberapa negeri lain di sekitarnya yang kini dikuasai kumpulan pemberontak Houti.

Keadaan itu sekali gus mengubah demografi Marib menjadi sebuah negeri paling padat dengan kira-kira tiga juta penduduk yang menempatkan puluhan kem pelarian terbesar di Timur Tengah.

Gabenor Marib, Dr Abdurabh Ali Meftah berkata, pada masa ini, Marib adalah negeri paling selamat daripada ancaman kumpulan Houti di Yaman menyebabkan jutaan pelarian dalam negara (IDP) dari negeri lain berhijrah ke sini.

KAULA LUMPUR 28 DISEMBER 2023. Gabenor Marib, Dr Abdurabh Ali Meftah
KAULA LUMPUR 28 DISEMBER 2023. Gabenor Marib, Dr Abdurabh Ali Meftah

"Kira-kira 62 peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian IDP di Yaman berada di Marib. Sebelum perang dulu, Marib hanya mempunyai kira-kira 500,000 penduduk, namun sekarang kami mempunyai lebih tiga juta penduduk.

"Sebanyak 98 kem pelarian dibina di Marib termasuk Kem Al Jufina yang dianggap terbesar di Timur Tengah dengan 12,000 penghuni daripada lebih 2,000 keluarga," katanya ketika menerima kunjungan rombongan misi kemanusiaan MyCare-Econsave di Pejabat Pihak Berkuasa Tempatan Marib, di sini. Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd kini dalam misi menghantar bantuan musim sejuk kepada pelarian di Syria, Yaman dan Mesir bermula 18 hingga 31 Disember ini.

Dr Mohd Zin (kanan) dan Mas Imran (dua dari kiri) menyerahkan sebuah khemah baru kepada pelarian Yaman di Marib.
Dr Mohd Zin (kanan) dan Mas Imran (dua dari kiri) menyerahkan sebuah khemah baru kepada pelarian Yaman di Marib.

Misi diketuai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam, Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani serta sukarelawan dan petugas media.

Dr Abdurabh berkata, pihak berkuasa tempatan Marib tidak pernah menghalang pelarian berhijrah ke daerah ini dan mereka boleh datang pada bila-bila masa. "Masalahnya kami tidak boleh memberi kehidupan yang selesa kepada mereka. Kami hanya boleh berikan kebebasan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, keadaan khemah di kem pelarian yang bertaburan di sekitar Marib sangat uzur selepas beberapa tahun digunakan dan perlu dibina semula.

Seorang penghuni, Amar Yahya yang berlindung di Kem Pelarian Stanbul, di sini, resah dan sentiasa mencari tempat berlindung bersama 14 ahli keluarganya kerana khemah lama yang diduduki sudah bocor setiap kali hujan.

Amar, 46, berkata sekiranya hujan lebat mereka akan mengalih atau menutup barang penting dalam khemah dan kadang-kadang bertempiaran keluar untuk berteduh.

"Ketika hujan lebat, kami akan meminta izin jiran yang ada khemah lebih baik atau bangunan kedai untuk berlindung sekejap di luar atau dalam premis mereka sehingga hujan reda.

"Pada musim sejuk pula kami terpaksa tinggal dalam kesejukan melampau. Kami tiada alat pemanas disebabkan tiada bekalan eletrik dan ketika musim panas pula tidak selesa kerana bahang dan panas yang keterlaluan.

"Dua keluarga tinggal dalam khemah ini iaitu keluarga saya dan keluarga arwah abang saya yang mati syahid dalam peperangan," katanya selepas menerima sumbangan khemah daripada rakyat Malaysia yang diurus MyCare dan Econsave di kem pelarian itu.

Amar yang tidak bekerja dan sudah empat tahun berlindung di kem pelarian berkenaan berkata, bagaimanapun masalah itu selesai apabila sudah mendapat khemah sumbangan rakyat Malaysia itu.

"Saya berharap akan mendapat bantuan selimut dan pakaian musim sejuk pula untuk keluarga kerana tidak mampu membelinya," katanya.

Anak-anak pelarian IDP gembira mendapat khemah baru yang disumbangkan rakyat Malaysia di Marib, Yaman.
Anak-anak pelarian IDP gembira mendapat khemah baru yang disumbangkan rakyat Malaysia di Marib, Yaman.

Sementara itu, Dr Mohd Zin yang juga Penasihat MyCare Johor berkata, pihaknya menyumbang 32 khemah, 155 selimut dan pakaian sejuk untuk mangsa perang di Kem Pelarian Stanbul dan Kem Pelarian Al-Sahn hasil kutipan dana dan wakaf rakyat Malaysia.

"Khemah-khemah mereka sebelum ini rosak dan hampir runtuh. Kediaman adalah perkara asas yang sangat penting kepada manusia dan mereka yang berada di kem pelarian tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan.

"Mereka sangat memerlukan bantuan. Kita menyasarkan setiap bulan, insya-Allah akan menyalurkan dana bagi menyediakan khemah dan keperluan asas," katanya. Mas Imran pula berkata, mangsa perang di sini amat memerlukan khemah baharu kerana yang lama sudah reput dan rosak.

Dalam pada itu, MyCare dan Econsave turut menyumbangkan wang tunai kepada lima balu pejuang yang mati syahid di Kem Pelarian Al-Swaida, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 3:36 PM