KANAK-KANAK pelarian  di kawasan setinggan di Tripoli bermain dalam persekitaran serba daif.
KANAK-KANAK pelarian di kawasan setinggan di Tripoli bermain dalam persekitaran serba daif.
Wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman

Kekurangan makanan, pakai apa saja pakaian yang ada. Itu antara kedaifan pelarian Syria di beberapa kem dilawati penulis ketika dibawa mengikuti misi kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0 (Syria Care 7.0) di tiga negara iaitu Lubnan, Turki dan di Syria sendiri.

Mereka pasrah tinggal di khemah di kem pelarian yang ada antaranya sudah usang.

Keadaan persekitaran pula berdebu apabila cuaca kering dan berselut ketika hujan.

Penulis difahamkan keadaan persekitaran kem pelarian akan dilimpahi banjir lumpur apabila hujan lebat melanda.

Mengintai dari luar pintu khemah, dapat dilihat keadaan di dalamnya agak suram dan gelap berikutan tidak dilengkapi sumber elektrik sepanjang masa.

Elektrik hanya dihidupkan apabila malam menjelma itu pun dalam tempoh terhad.

Sebaik penulis dibawa masuk ke dalam khemah, apa yang terbentang di depan mata hanya beberapa helai tikar plastik bagi melapik lantai yang sejuk serta beberapa tilam nipis, selimut dan bantal digunakan untuk tidur.

Hanya itu saja harta yang ada selain beberapa helai pakaian diterima hasil sumbangan.

Namun, khemah itu kini menjadi sebaik-baik tempat tinggal berikutan mereka kini tidak perlu lagi khuatir maut menjemput jika diserang tentera Bashar Al Assad atau militan yang bermaharajalela di bumi Syria.

PELARIAN di Tripoli, Lubnan mengambil pek makanan diedarkan oleh petugas Syria Care.
PELARIAN di Tripoli, Lubnan mengambil pek makanan diedarkan oleh petugas Syria Care.

Selain itu, kami difahamkan kekurangan bekalan ubatan menyebabkan penghuninya kerap dilanda sakit terutama kanak-kanak kerana tidak mendapat imunisasi sewajarnya.

Mereka keciciran pelajaran, buta huruf dan hidup dalam trauma susulan keganasan melanda yang dilihat di depan mata.

Itu belum lagi termasuk masalah kekurangan zat makanan menyebabkan badan mereka kecil berbanding usia.

Malah, susulan ketiadaan makanan, ada antara mereka sebelum ini hanya menunggu saja maut menjemput.

Untuk makluman, misi kemanusiaan Syria Care 7.0 digerakkan oleh pertubuhan kemanusiaan dari Malaysia, Syria Care bermula 29 November hingga 11 Disember lalu diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki.

Misi bermula dengan agihan bantuan kepada pelarian Syria di wilayah Tripoli dan Akkar, Lubnan.

Menerusi misi di Lubnan, kami ke salah satu perkampungan setinggan di Tripoli dipenuhi sampah-sarap serta bahan terbuang yang menjadi tempat tinggal kira-kira 300 keluarga pelarian Syria.

Sedihnya, mereka bukan tinggal secara percuma, sebaliknya perlu membayar sewa bulanan kepada pemilik tanah dengan kadar harga antara RM669 hingga mencecah RM1,100 berbeza mengikut saiz rumah didiami.

Kemudian, misi kemanusiaan ini menuju ke tiga kem pelarian iaitu di Kem Addwa al-Raudah, Kem Suror Saadeen dan Kem Kharbat Dawood, masing-masing terletak di wilayah Akkar, Lubnan yang bersempadan dengan Syria.

Penulis berkesempatan menemu bual dua pelarian Syria yang baru sehari sampai di Kem Addwa al-Raudah selepas melarikan diri dari Homs, Syria bersama empat lagi orang dewasa serta lima kanak-kanak.

Menerusi perbualan itu, semua orang dewasa dalam kumpulan berkenaan perlu membayar AS$2,000 atau RM8,331 setiap seorang untuk diseludup keluar hidup-hidup oleh sindiket penyeludupan manusia yang mengambil kesempatan atas kesengsaraan dihadapi penduduk Syria.

Jika tidak dapat menyediakan wang seperti dipinta, mereka perlu pasrah tinggal di Syria menunggu maut menjemput sama ada akibat mati kebuluran atau diterjah peluru serta bedilan roket dan bom dilepaskan militan atau tentera Bashar.

PELARIAN Syria memanaskan badan dengan mengelilingi unggun api yang dibakar pada musim sejuk sekarang.
PELARIAN Syria memanaskan badan dengan mengelilingi unggun api yang dibakar pada musim sejuk sekarang.

Kami berada di Lubnan selama dua hari dan selesai misi di situ, wartawan bersama petugas misi kemanusiaan Syria Care kemudian terbang ke Kilis, Turki bagi misi bantuan musim sejuk di negara itu serta di Syria.

Kilis menjadi pintu masuk kami ke Syria bagi misi lima hari di negara yang bergolak dalam kancah perang sudara sejak 2011.

Jalan rosak, berlubang serta dipenuhi lumpur, bangunan termasuk masjid hancur dibedil roket serta bom dan kem pelarian memenuhi kawasan di wilayah utara di Syria.

Ia antara pemandangan dapat dilihat sepanjang lima hari kami melawat ke kawasan seperti di A'zaz, Afrin, Qabasin, Sawron, Turkmen Bareh dan Marea yang kini berada dalam kawalan tentera Turki.

Sepanjang berada di kawasan berkenaan kelibat tentera lengkap senjata berat serta kenderaan berperisai memenuhi setiap pelusuk jalan.

Di sepanjang jalan juga kami terserempak dengan pasukan pejuang tempatan menggalas senjata mengawal keadaan serta keselamatan penduduk.

Mereka ini asalnya kumpulan pejuang ditubuhkan penduduk tempatan bagi bertindak balas terhadap serangan tentera Bashar Al Assad dan militan yang bermaharajalela.

RUANG  dalam salah satu khemah yang serba kedaifan.
RUANG dalam salah satu khemah yang serba kedaifan.

Namun, kini bertugas di bawah seliaan tentera Turki selepas tentera Bashar serta kumpulan militan lain seperti pemberontak Kurdis dan Daish berjaya diusir keluar dari wilayah itu.

Di Syria, petugas Syria Care bukan sekadar mengagihkan keperluan makanan, sebaliknya keperluan musim sejuk seperti jaket, selimut, sarung tangan serta kasut but yang sesuai bagi membolehkan pelarian berlindung daripada suhu sejuk.

Penulis dimaklumkan bahawa pakaian berkenaan antara keperluan kritikal diperlukan penduduk serta pelarian sepanjang musim sejuk.

Ia kerana selain perang, saban tahun, musim sejuk turut menyumbang kepada peningkatan kematian khususnya dalam kalangan penghuni yang tinggal di khemah pelarian.

Di Syria, penulis kemudian dibawa melawat ke Kem Zamkaa, salah satu kem yang sebelum ini dalam keadaan sangat daif.

Penduduk di kem itu pernah tiga bulan tidak mempunyai bekalan makanan dan hanya makan sisa roti berkulat termasuk daun pokok serta hanya menunggu masa untuk mati.

Bagaimanapun, kesengsaraan penghuni di situ berakhir apabila Syria Care menerusi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Turki iaitu, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) mula menubuhkan dapur bagi membekalkan makanan kepada mereka.

Malah, dalam misi ini, penulis turut menemubual beberapa pelarian Syria yang cacat anggota akibat terkena bedilan roket selain kehilangan orang tersayang akibat dibunuh secara kejam oleh tentera Bashar serta militan Daish dan Kurdish.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:06 AM